• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Bakar Tong Sampah, PBT Beri Peringatan

KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Sikap segelintir masyarakat membakar sampah di dalam tong sampah sehingga menyebabkan kemudahan tersebut rosak dan tidak boleh digunakan mengundang amaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed berkata, lebih 30 tong sampah yang diletakkan di bahu jalan untuk kemudahan orang awam di daerah ini rosak terbakar kerana sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

"Tong sampah antara barangan yang sering rosak kerana penggunaan yang salah. Antara punca kerosakan itu disebabkan individu tidak bertanggungjawab yang bertindak membakar sampah di dalam tong sampah sehingga menyebabkan plastik tong sampah cair dan tidak boleh digunakan lagi.

"Masalah tong sampah terbakar ini adalah antara kerosakan yang sering dilaporkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sehingga memaksa PBT berkenaan meninggalkan notis supaya perbuatan serupa tidak berulang," katanya.

Selain itu, katanya, terdapat juga kes tong sampah terbakar berpunca daripada tindakan segelintir pengguna yang membuang puntung rokok masih menyala ke dalamnya.

"Perbuatan-perbuatan begini perlu dihentikan supaya harta benda awam ini terus terjaga dan boleh dimanfaatkan bersama.

"Selain tong sampah, kerosakan cermin cembung dan lampu isyarat juga antara perbuatan vandalisme yang dikesan berlaku," katanya.


Tag: