Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Kerajaan negeri menegaskan keperluan untuk melakukan bancian pertanian dengan lebih kerap perlu diletakkan sebagai satu keutamaan bagi memastikan data yang diperoleh benar-benar menggambarkan prestasi semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, data bancian pertanian terakhir pada tahun 2005 hanya bergantung kepada jabatan dan agensi berkaitan, menyebabkan maklumat yang diperoleh tidak menyeluruh.
“Dalam beberapa siri perbincangan bersama Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM, saya selalu memberikan pandangan supaya DOSM melakukan beberapa penambahbaikan,
“Supaya data-data dan statistik yang diperolehi dan dianalisa dengan lebih terperinci agar dapat menggambarkan situasi sebenar di lapangan.
“Ia bukan bermaksud bahawa data DOSM sebelum ini tidak tepat tapi masih banyak ruang yang boleh dimurnikan," katanya.
Dalam usaha yang sama, beliau telah menyambut baik inisiatif Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaksanakan semula Banci Pertanian pada tahun 2024.
Untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai prestasi sebenar pertanian negara, Dr. Azman turut mencadangkan supaya KDNK sektor pertanian dikaji semula dengan mengasingkan subsektor yang tidak berkait secara langsung.
“Ada empat subsektor utama yang dikira dalam KDNK Sektor pertanian iaitu subsektor tanaman, subsektor perikanan, subsektor ternakan dan subsektor perhutanan dan pembalakan.
“Bagi subsektor tanaman termasuk juga di dalamnya tanaman komoditi seperti kelapa sawit,” tambahnya.
Menurut beliau, sektor kelapa sawit sepatutnya berada di bawah kementerian berbeza dan bukan sebahagian daripada tanaman makanan kerana ia memberi kesan besar kepada KDNK pertanian walaupun realitinya sektor pertanian lain berkembang.
“Saya mencadangkan supaya KDNK Sawit diasingkan dari KDNK Pertanian kerana sawit dan pertanian diuruskan oleh dua kementerian berbeza.
“Sawit juga tidak dikira sebagai tanaman makanan. Dalam konteks Terengganu, ladang sawit meliputi kira-kira 70 peratus dari kawasan bertanam.
“Apa sahaja kenaikan dan penurunan yang berlaku kepada sektor sawit akan memberikan kesan besar kepada KDNK Pertanian.
Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan ketidaksetujuannya terhadap penyatuan sektor perhutanan dan pembalakan dengan sektor pertanian dalam pengiraan KDNK.
Hal ini kerana, penyatuan sektor-sektor tidak berkaitan itu dilihat sebagai satu pemangkin yang turut mempengaruhi bacaaan akhir hasil bancian.
“Portfolio Pertanian Terengganu tak ada sebarang bidang kuasa dengan Jabatan Perhutanan. Orang Jabi kata, bukan kerja ‘ambo’ (saya).
“Jika banyak tebang balak maka KDNK akan naik. Kurang tebang balak maka KDNK turun,”ujarnya.
Dr. Azman berharap bancian yang lebih kerap dan pemisahan data yang lebih spesifik dapat membantu kerajaan dalam merangka dasar yang lebih tepat bagi memajukan sektor pertanian negara.