• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bandar Pintar Inisiatif Majukan Besut 2035

KUALA TERENGGANU, 7 September - Bandar pintar merupakan antara tujuh inisiatif yang telah digariskan oleh kerajaan negeri dalam memandu pembangunan daerah Besut sehingga tahun 2035.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kekayaan sumber semula jadi dan budaya menarik akan turut dimanfaatkan untuk dimajukan di daerah berkenaan.

Katanya, skop berkenaan meliputi 'smart tourism', menonjolkan warisan budaya daerah, pemeliharaan koridor hijau, membangunkan infrastruktur dan jelapang padi serta menjadikan gerbang pelancongan ke Pulau Perhentian.

"Selain itu, pasukan kajian juga telah menyenaraikan 193 projek yang berpotensi untuk dibangunkan dalam tiga fasa perancangan darinya, 18 darinya merupakan projek berimpak tinggi.

"Kerajaan negeri juga memberi keutamaan bagi pelaksanaan projek melalui insiatif pelaburan swasta atau 'smart partnership' bagi mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan negeri.

"Pemaju dan syarikat luar diberi ruang untuk memajukan Skim Perumahan Mampu Milik, Bandar Baharu Lestari dan terlibat dalam sektor perindustrian serta perhotelan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Besut 2035 (Penggantian), secara atas talian, pada semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia, (Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa), TPr.Mohd Faidzal Hamzah, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda serta Pengarah PLANMalaysia Negeri Terengganu, Dr. Abu Bakar Mat.

Mengulas lanjut, Dr Alias berkata, kerajaan sentiasa menyalurkan peruntukan pembangunan khusus bagi menampung kos penyediaan Rancangan Pemajuan oleh PLANMalaysia dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi RT yang telah tamat tempoh perancangan.

"Penggantian RTD Besut 2035 ini memberi peluang kepada Majlis Daerah Besut menggubal hala tuju perancangan baru bagi mencapai status Majlis Perbandaran menjelang tahun 2035, beberapa kriteria penting berkaitan perhidmatan perbandaran.

"Kelangsungan pertumbuhan penduduk dan sasaran hasil pendapatan melebihi 20 juta perlu dirancang mulai sekarang. Dokumen ini boleh dijadikan 'blueprint' bagi hala tuju pembangunan majlis daerah ini dan gerak kerja bersama agensi teknikal bagi perancangan untuk 15 tahun akan datang," katanya.

Mengulas lanjut katanya, bagi memastikan perancangan itu dapat dijayakan serta dilaksanakan dengan baik bagi memenuhi kehendak rakyat, maklum balas dari masyarakat menjadi keutamaan justeru diwujudkan kaedah publisiti dan penyertaan awam sepanjang bulan ini.

"Ia Bagi memastikan dokumen perancangan dibuat secara bersama dan mewujudkan 'sense of ownership', telah diwujdukan empat lokasi pameran tetap iaitu di Pejabat Majlis Daerah Besut (Kota Putera Lodge), Pejabat Tanah dan Daerah Besut.

"Juga di Pejabat PLANMalaysia Negeri Terengganu, Tingkat 4 Wisma negeri dan lobi Wisma PERKESO Kuala Terengganu, selain itu kerajaan negeri turut menyediakan tiga lokasi pameran bergerak di Pasaraya Giant Jertih, Pasar Awam Kampung (KG) Raja dan Balai Bomba Sukarela di Pulau Perhentian," ujarnya.

Katanya, kelompok masyarakat, persatuan dan pertubuhan juga diberi peluang untuk memohon taklimat dan penerangan khusus berkenaan Draf RTD Besut dengan melalui surat kepada urusetia.

"Selepas tamat tempoh publisiti. semua cadangan, pandangan atau bantahan yang akan diterima oleh Jawatankuasa Khas akan dipertimbangkan dan diambilkira bagi laporan akhir.

"Saya menyeru kepada seluruh penduduk daerah ini, khususnya kepada pemimpin masyarakat supaya mengambil peluang mengemukakan maklum balas dan mengajak lebih ramai orang awam di luar sana untuk mebuat semakan di kaunter yang telah disediakan dalam tempoh sebulan ini," ujarnya.

Katanya, kaedah penerangan berkenaan sebagai langkah kerajaan memastikan rakyat faham berkaitan Rancangan Daerah Besut 2035 sebelum ia diwartakan

 


Tag: