• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bangkit Semula , Permint Plywood Sasar Keuntungan Dalam Tempoh Lima Tahun

 

KUALA TERENGGANU, 18 Oktober -SEBUT sahaja perniagaan papan lapis atau ‘plywood’, pastinya ramai tidak mengetahui industri itu sebenarnya telah dikuasai usahawan melayu bumiputera di negeri ini sejak 1983 dan pernah berdiri setanding dengan syarikat bukan bumiputera yang lain sebelum ‘berehat buat seketika’ untuk satu tempoh yang agak panjang.

Anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB), Kilang Papan Lapis Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) kini kembali bangkit dan menyasarkan keuntungan yang bakal dicapai sebanyak RM5 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan tanpa sebarang kerugian.

Pegawai Bertugas PPSB, Ahmad Bazli Razali berkata, kepimpinan yang sedang mentadbir kini telah menyediakan satu asas yang kukuh bagi mencapai sasaran berkenaan sekaligus merangka beberapa strategi untuk mencapainya.

Katanya, Permint Plywood hari ini mengumumkan strategi pemulihan utama bagi mengembangkan kembali sektor perniagaan berasaskan  venir untuk pasaran tempatan dan juga antarabangsa.

“Kita telah menyediakan asas yang kukuh untuk kepimpinan baru pada masa akan datang terutamanya kepada kepada kilang  di mana akan ada pulangan yang besar dan ianya salah satu ikhtiar yang dilakukan pada hari ini.

“Apa yang kita mahu dan impikan, Permint Plywood kembali kepada zaman kegemilangannya sejak ia mula beroperasi pada Mei 1983  malah pernah  menjadi salah satu penyumbang kepada ekonomi kerajaan negeri sebelum ditutup pada 2005 dan kembali beraksi pada 2018,”ujarnya.

Justeru itu katanya, pelbagai perancangan telah dibuat termasuk menambahbaik hasil keluaran dan mencipta beberapa idea baharu seperti menghasilkan minyak gaharu dengan pokok Karas bagi menjana pendapatan kilang dan bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

“Karas dikenal pasti sebagai tumbuhan yang mampu menjadi komoditi perdagangan yang amat mahal dan boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.

“Oleh itu pengusaha tempatan perlu merebut potensi ini sebagai sumber pendapatan tambahan sambil membantu menjadikan Terengganu sebagai negeri yang bersaing dalam pengeluaran produk utama dalam penghasilan minyak gaharu.

Dalam pada itu sebagai langkah permulaan untuk berdiri setanding dengan syarikat lain setelah lama berehat suntikan dana perlu untuk Permint Plywood bangkit bagi mengembangkan kembali sektor perniagaan berasaskan  venir untuk digunakan untuk merekatkan permukaan berbagai jenis kayu perindustrian seperti kayu MDF, papan zarah, kayu berlapis untuk produk perabot atau tujuan lain bergantung pada kualiti kayu.

Pengerusi Lembaga Pengarah PPSB, Maliaman Kassim, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi berkata, venir kayu di Permint Plywood diperbuat daripada kayu semula jadi dan juga  kayu terbaik. 

“Dari sebatang kayu, kita mengupas banyak lapisan venir nipis, biasanya ketebalan dari 0.5mm ke 3.0 mm, ia dipanggil venir.... majoriti spesifikasi produk venir adalah bersaiz 4x8 kaki untuk pasaran tempatan dan antrabangsa.Daripada sebatang kayu balak ia mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 1m3 (Cubic Meter) venir bergantung pada ketebalan  venir yang ditempah oleh pembeli. 

“Sehingga kini banyak permintaan produk Face dan Back venir yang telah diterima oleh PPSB. Kemampuan mesin mengupas sedia ada mampu mengeluarkan gred yang terbaik seperti B/BB dan BB/CC untuk venir daripada PPSB yang mampu untuk menembusi pasaran Australia, India dan Taiwan sehingga hari ini.

“Namun kita ada permasalahan utama anak syarikat di bawah GPB itu adalah kesemua mesin pengeringan venir mengalami kerosakan dan kos pembaikian dan pembelian ‘steam boiler’ membabitkan kira kira RM 2.4 juta,”ujar beliau.

Tambahnya, buat masa sekarang operator kilang terpaksa menggunakan pengeringan secara manual dan ini menyebabkan produk pengeluaran terlalu sedikit kerana faktor cuaca dan proses pengeringan secara manual mengambil masa yang agak lama.

“Jika venir tidak dikeringkan dengan secara betul, produk venir akan mengalami kerosakan dimana kulat atau fungus akan melekat di permukaan venir seterusnya menjadikan harga produk ini jatuh atau pembeli tidak akan berminat untuk membelinya dengan kuantiti yang banyak

 “Sekiranya pembaikian serta pembelian mesin-mesin pengeringan venir ini dapat beroperasi semula,saya yakin hasil pengeluaran produk akan meningkat berkali ganda dan mencipta nilai tambah baharu kepada pelanggan serta membolehkan mereka meningkatkan lagi jumlah kapasiti pembelian yang lebih banyak,” jelas Maliaman.