Banglo Biru Kembali Terancam Ekoran Ombak Besar

KUALA NERUS, 11 Februari - Pemilik banglo biru kembali resah apabila sebahagian tanah berhampiran pagar rumahnya telah runtuh akibat fenomena ombak besar setinggi 2.4 hingga 2.8 meter yang berlaku semalam.

Mohd Yazit Idris, 66 berkata, ombak besar mula berlaku selepas pukul 5 petang semalam dan berlarutan hingga 5 pagi tadi.

"Bila saya bangun, rasa lega tengok bahagian dapur masih selamat namun terkejut apabila melihat tanah di bahagian pagar di halaman rumah pula yang runtuh.

"Saya difahamkan ombak besar akan berlaku untuk dua hari lagi, jadi saya mohon doa semua pihak untuk rumah ini dapat bertahan dalam berdepan situasi cemas ini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, semalam.

Dalam pada itu,  bahagian dapur rumah yang sebelum ini seolah-olah 'tergantung' akibat hakisan ombak telah pun selamat apabila pembinaan benteng pemecah ombak siap kira-kira tiga minggu lalu.

"Anak syarikat kerajaan negeri ada menyumbang batu-batu besar untuk dibuat benteng itu sebagai langkah pencegahan sementara.

"Kemudian, saya gunakan wang sedekah kawan dan saudara mara untuk beli sebanyak 33 lori tanah bagi menambak bahagian yang runtuh akibat hakisan.

"Setakat ini, bahagian belakang rumah agak kukuh namun tanah di tepi pagar pula yang menjadi kerisauan," katanya.

Sebelum ini, banglo biru milik Mohd Yazit berisiko roboh akibat hakisan pantai yang teruk berlaku pada awal Januari lalu namun ia dapat diselamatkan hasil bantuan pelbagai pihak.


Tag: