• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Banjir : Amzad Sumbang 200 Pek Barang Dapur

KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim menyalurkan bantuan barangan dapur kepada lebih 200 keluarga dalam DUN Batu Buruk, hari ini.

Beliau berkata, sumbangan itu membabitkan rakyat yang terkesan secara langsung mahupun tidak langsung dalam bencana banjir baru-baru ini.

"Pengagihan sumbangan ini sudah menjadi rutin kami di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu.

"Lagi-lagi bila tiba musim tengkujuh ini, maka saya telah mengarahkan semua staf pejabat untuk agresif berkenaan hal ehwal kebajikan rakyat," tambahnya ketika mengagihkan bantuan di pejabat ADUN Batu Burok

Amzad berkata, pengagihan sumbangan ini sebagai tanda bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berkongsi rezeki dengan rakyat dalam parlimen Kuala Terengganu.

"Semua maklum, peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang tiada, namun saya tetap perlu bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat saya walaupun perlu keluar duit sendiri.

"Kita juga melaksanakan projek bantuan khas kepada dua buah keluarga setiap DUN dalam parlimen Kuala Terengganu yang amat-amat memerlukan. Kita beri barang dapur beserta wang tunai", katanya

Seorang penerima bantuan, Muhammad Iqhwan Solehim Abdullah, 25 tahun berasa sangat terharu apabila Ahli Parlimen beliau sendiri yang datang menyampaikan sumbangan.

"Terima kasih banyak kepada YB Datuk atas sumbangan yang diberikan," katanya.

Pesakit buah pinggang sejak tahun 2014 itu tinggal bersama isteri dan dua orang anaknya masing-masing berusia lima dan satu tahun.

Dia yang bekerja sebagai Pengawal Keselamatan (sementara) memaklumkan bahawa kesan daripada penyakit berkenaan menyebabkan bengkak seluruh badan, cepat penat dan lesu.

Selain bantuan yang diberikan, Pusat Khidmat Masyakat dengan kerjasama Pejabat DUN akan usaha bantu berhubung dengan agensi-agensi yang berkenaan seperti Pusat Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Maidam untuk membantu meringankan beban rakyat.

 


Tag: