• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Banjir, Angin Kencang Luar Jangka Cemaskan Penduduk

KUALA NERUS, 26 Februari - Rata-rata penduduk di daerah ini menyatakan perasaan cemas dengan cuaca buruk luar jangka yang melanda Terengganu pada ketika ini.

Dalina Awang, 45, berkata hujan lebat berserta angin kencang yang menyebabkan rumahnya dinaiki air dengan cepat menggusarkan hati mereka sekeluarga selepas mengalami kejadian serupa pada tahun 2014.

"Teruk juga pada kali ini, boleh dikatakan saya dan jiran-jiran yang ada di sini berada dalam keadaan panik, kami segera mengambil tindakan menaikkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi.

"Air sangat cepat naik, jika hujan lebat berterusan maka kawasan ini akan ditengelami air untuk kali kedua," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Hangus, Kamaruddin Salleh pula berkata, beliau difahamkan air naik di kawasan terbabit adalah disebabkan sistem perparitan.

"Sebenarnya isu ini telah dibawa kepada pihak Jabatan pengairan dan Saliran (JPS), kita minta agar disegerakan.

"Jika ia dipercepatkan maka masalah penduduk di sini akan dapat diselesaikan, kita dimaklumkan ia membabitkan kos yang agak tinggi namun telah diluluskan kita berharap agar ia berjalan dengan secepat mungkin.

"Apabila berlaku banjir ia akan membabitkan 25 buah rumah yang melibatkan 180 orang mangsa, jadi tindakan kita bila tiba musim hujan memang berhubung dengan pihak JPS agar kerja mencuci parit dapat dilakukan, cuma pada kali ini apa yang berlaku di luar jangkaan," katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim telah turun padang bagi menyantuni mereka yang terkesan dalam kejadian kepala angin melibatkan penduduk di kampung Gong Pak Jin, Padang Nanas, Bukit Bayas dan Kampung Kubur Sharif.

Hishammuddin berkata, rumah yang terjejas akibat ribut akan segera dibaiki.

"Segala proses untuk membantu bagi membaiki kembali rumah terbabit akan dilakukan secepat mungkin selepas cuaca kembali pulih sepenuhnya," ujarnya.

 


Tag: