• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Banjir Di Kampung Belukar Bukit, Terburuk Sejak 60 Tahun

HULU TERENGGANU, 1 Mac - Penduduk di sekitar Kampung Belukar Bukit menyifatkan banjir kali ini luar biasa kerana tidak pernah seteruk itu sejak lebih 60 tahun lalu.

Salah seorang penduduk yang terjejas teruk, Endon Ismail, 67, berkata kejadian tersebut menyebabkan struktur bahagian luar rumahnya musnah, manakala di bahagian dalam rumahnya dipenuhi kayu dan lumpur.

Dia yang tinggal bersama keluarganya lebih 15 tahun hanya mampu melihat detik sayu yang dipercayai berpunca daripada kepala air itu, dan kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.

"Kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi dan ketika itu makcik menumpang di rumah jiran yang terletak di hadapan rumah kerana air telah melimpah depan rumah dan orang kampung suruh pindah. 

"Makcik tidak dengar apa-apa sehinggalah ada orang kampung datang beritahu dan makcik tengok ada bahagian rumah runtuh ditimpa kayu-kayu," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Belukar Bukit di sini, semalam.

Beliau kini terpaksa menumpang rumah besannya di Felda Mengkawang menerima ujian itu dengan redha walaupun kehilangan segalanya

Sementara itu, anak Endon, Elmin Nawang , 43, berkongsi saat keretanya yang dinaiki bersama isteri, Saliza Ahmad Saidi, 37,  dan tiga anak mereka berusia 11 hingga dua tahun  hampir dihanyutkan arus deras.

"Ketika kejadian, dia sedang cuba menyelamat barangan penting ke dalam kereta dan terdengar bunyi bising.

"Selepas isi barang dalam kereta saya ingin masuk ke rumah semula untuk ambil barang lagi. Pada waktu itulah arus deras bersama kayu datang secara tiba-tiba dan bawa hanyutkan kereta namun nasib baik diselamatkan orang kampung yang menolak kereta ke kawasan selamat," katanya.