• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Banjir Gelombang Ketiga Landa Terengganu

Oleh : Pok Abbas

KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Fasa ketiga banjir bermula semalam berikutan hujan lebat serta berlakunya air pasang besar di Terengganu yang menyebabkan bandar raya Kuala Terengganu terjejas teruk. 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam  Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Jabatan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memaklumkan julat hujan 200mm sebulan tetapi hari ini mencatatkan bacaan antara 180mm hingga 190mm.

"Jadi julat hujan yang begitu banyak menyebabkan paras air meningkat dan faktor lain, kita rekodkan hari ini berlakunya air pasang besar di laut yang menyebabkan aliran air hujan lebat menyebabkan takungan-takungan air agak lambat untuk turun ke laut," jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) awal pagi tadi ketika meninjau situasi banjir di sini. 

Che Adam

Menurutnya lagi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat Monsun Timur Laut bermula lewat petang hari rabu 2 Disember dengan hujan lebat yang berterusan selama enam jam, dan disertai juga dengan ribut petir.

"Tinjauan kita bahawa beberapa tempat di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu dinaiki air yang agak banyak proses pemindahan berlaku di beberapa kawasan di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

"Jika awal pagi ini masih turun begini akan berlaku juga pemindahan di daerah Kemaman, yang mana data-data masih dalam pengumpulan lagi. Air pasang juga kita jangkakan akan berlaku pada jam 2.00 pagi akan mengalami proses surut di peringkat laut," katanya lagi.

Beliau turut memberitahu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap daerah berada dalam keadaan bersiap siaga rentetan gelombang kedua minggu lalu.

"Pada tengah malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan amaran cuaca buruk di kawasan utara Terengganu melibatkan Setiu dan juga Besut, jadi implikasi hujan lebat boleh mengakibatkan hujan lebat boleh mengakibatkan hujan lebat di kawasan utara Terengganu hari ini," ujarnya.

Katanya, sebahagian penduduk masih lagi agak terkejut daengan implikasi hujan yang agak lebat itu termasuklah kawasan-kawasan yang tidak pernah mengalami banjir sebelum ini dan ataupun sudah lama tidak mengalami banjir.

"Insya-Allah jika hujan reda dalam tempoh 24 jam atau 48 jam lagi kebarangkalian untuk kawasan mereka pulih, jadi apabila mereka balik nanti diminta berhati-hati proses pencucian di tempat mereka untuk lebih dari aspek keselamatan, mungkin objek-objek yang tajam ataupun binatang berbisa boleh keluar daripada kawasan tersebut," tambah beliau.


Tag: