• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Banjir: JKR Tanggung Kerugian RM300 Juta

Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika mengadakan lawatan kerja ke Hotel PB Square dan PB sentral, Kuala Terengganu. Foto Oleh: Zulkifli Putra

Jumlah kerugian akibat kerosakan jalan selepas ditenggelami air dalam kejadian banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini dianggarkan RM300 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengemukakan laporan jumlah kerugian itu kepada Kerajaan Pusat.

Katanya, semua jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini sudah diarahkan mengemukakan jumlah kerugian dialami berikutan kemusnahan harta benda awam untuk dihantar kepada Kerajaan Pusat.

Sementara itu Ahmad Razif berkata, keseluruhan pusat pemindahan banjir di Terengganu telah ditutup dan semua mangsa pulang kediaman masing-masing Isnin lalu.

“Walaupun banjir sudah pulih sepenuhnya, kita sentiasa ambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat dijangka melanda negeri ini sehingga Mac depan.

“Semua pangkalan hadapan yang menempatkan bekalan makanan serta bilik gerakan bencana di peringkat negeri dan daerah diarah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hotel PB Square dan PB sentral, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, pemuafakatan semua pihak memudahkan gerak kerja ketika bencana banjir melanda negeri ini.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih dengan gerak kerja termasuk operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir oleh semua agensi Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dikendalikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” ujarnya.



Tag: