• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Banjir : Wakil Rakyat Agih Satu Tan Ikan

KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Sebanyak satu tan ikan tongkol disumbangkan kepada penduduk di PPR Hiliran, Kuala Terengganu, di sini oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu dalam meringankan beban rakyat dalam musim tengkujuh.

Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata sumbangan ini adalah inisiatif yang selalu dilakukan agar rakyat mendapat makanan yang cukup.

Beliau turut berkata, sumbangan itu memberi peluang dan membantu penduduk yang sukar dan kurang mampu untuk mendapatkan sumber protein tersebut.

"Kita ambil kesempatan ini untuk berkhidmat kepada masyarakat dan bersama membantu meringankan apa yang dihadapi rakyat.

"Sudah setahun saya bergerak tanpa peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, namun kita usaha bantu semampunya". katanya ketika ditemui selepas mengedarkan ikan kepada orang ramai di sini," katanya kepada media hari ini.

Dijangkakan seramai seribu buah keluarga mendapat manfaat sumbangan tersebut.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada JPKK PPR Hiliran kerana berjaya melaksanakan program tersebut.

Sementara itu seorang penerima, Abdul Rahman Hassan, 40, melahirkan kesyukuran kerana mendapat ikan percuma yang disumbangkan hari ini.

"Seronok, hari ini saya tak perlu lagi beli ikan lagipun sekarang musim tengkujuh, agak sukar untuk mendapat ikan.

"Alhamdulillah, boleh juga kurangkan sedikit perbelanjaan dapur," katanya.


Tag: