• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bank Islam Sumbang RM30,000 Untuk Bantuan COVID-19

KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya, AMAL menyampaikan sumbangan bernilai RM30,000 bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Pengurus Kawasan Timur Bank Islam, Rosmawati Mohamed Zin berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM5,000 disumbangkan kepada Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu.

“Kami merasa bertanggungjawab untuk bersama-sama kerajaan negeri membantu rakyat yang terjejas akibat daripada penularan wabak ini, dimana sumbangan diserahkan kepada Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu untuk diagihkan kepada mereka yang layak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika cek bernilai RM5,000 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Zahari Md. Azahar yang mewakili kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, Rosmawati berkata, sebanyak RM25,000 daripada sumbangan tersebut pula diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi membantu golongan asnaf.

“Kita fokuskan bantuan kewangan kepada 100 usahawan mikro yang perniagaannya terjejas teruk akibat pandemik ini dimana ianya telah diserahkan kepada pihak MAIDAM, semalam,” ujarnya.


Tag: