• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantu Usahawan Melalui Penternakan Kambing

SETIU, 28 September - Seramai enam usahawan dipilih sebagai perintis pembangunan usahawan kambing tenusu yang akan dilatih selama dua tahun dan peserta akan menerima elaun sebanyak RM1,200 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.8 juta menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 bagi melaksanakan projek rintis penternakan kambing tenusu di Ladang Induk Pengganda Kambing Tenusu, di sini.

Katanya, projek ini dijayakan bersama dengan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC).

“Program ini bukan semata-mata berorientasikan keuntungan tetapi yang menjadi adalah objektif besar menggandakan induk dan melatih usahawan tempatan kita.

“Negeri ini belum mempunyai pengeluaran induk baka kambing tenusu yang mendapat pensijilan dan berdaftar dalam sistem e-baka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas ladang berkenaan bertempat di Kampung Bari, Setiu semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd, Azhar@Wahab Jusoh.

Tambah Dr Azman, sehingga 2020, sebanyak 3,259 ekor induk kambing tenusu diternak oleh 90 penternak berskala kecil dan sederhana.

“Sehari sebanyak 500 liter susu mampu dikeluarkan di seluruh negeri dan Terengganu kini mempunyai kilang pemprosesan susu dengan fokus kepada susu kambing yang pertama di Malaysia dengan kapasiti 500 liter sejam di Kampung Jenang, Marang,” katanya.

Mengulas lanjut, usahawan yang telah tamat menjalani latihan, setiap seorang akan mendapat lima hingga enam ekor kambing termasuk 20 peratus hasil penjualan susu untuk mereka jadikan modal permulaan.

 


Tag: