Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
Bantuan Awal Persekolahan Bantu Ringan Beban Keluarga
KUALA TERENGGANU, 6 Februari- Rata-rata penerima bantuan awal persekolahkan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan yang sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarga.
Salah seorang penerima, Aisyah Mohammad Isa Raja, 33, berkata, dia sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan kepada golongan memerlukan.
"Alhamdulillah, kami amat bersyukur kerana pihak Yang Berhormat (YB) telah meringankan beban kami sekeluarga. Sepanjang perkhidmatan YB, kami telah menerima pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan, dan ini sangat membantu kami," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan tersebut dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong di Mydin Mall Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Menurut Aisyah, bantuan tersebut diharap dapat diteruskan dan diperluaskan kepada lebih ramai keluarga yang benar-benar memerlukan.
"Dengan kos hidup yang semakin tinggi, ramai rakyat yang sedang menghadapi kesusahan. Bantuan seperti ini amat bermakna buat kami," ujarnya.
Sementara itu, Sulaiman berkata, bantuan awal persekolahan itu diberikan kepada keluarga yang memerlukan bersempena dengan sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula tidak lama lagi.
"Bantuan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak bagi menghadapi seisi persekolahan yang baru.
"Bantuan yang diberikan tidak hanya berupa pakaian sekolah, tetapi juga kelengkapan lain yang diperlukan," ujarnya.
Katanya, program tersebut adalah salah satu usaha berterusan pihak kerajaan untuk memastikan tidak ada anak yang tercicir daripada pendidikan walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.