• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantuan Bakul Makanan Rakyat Terjejas PKP Diagih

BESUT, 18 Februari - Ratusan bungkusan makanan diagihkan kepada setiap isi rumah melibatkan 500 buah keluarga terjejas di DUN Kota Putera semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, bantuan tersebut adalah insentif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini.

"500 bungkusan insentif bakul makanan berjaya diedarkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Benting Lintang, Pengkalan Kubur, Pekan Sari, Pak Mentosa dan  Gong Jelutong.

"Setiap JPKK diberikan sebanyak 100 bungkusan makanan untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang terjejas teruk berikutan PKP 2.0 di kawasan mereka," katanya kepada UPDI.

Tambah beliau, proses pengagihan akan diteruskan lagi untuk JPKK seterusnya sehingga selesai pengagihan kepada semua 37 JPKK dalam Dun Kota Putera.

Mohd Nurkhuzaini memaklumkan sumbangan adalah berbentuk makanan seperti beras, minyak, gula dan gandum.

Dalam masa yang sama, beliau menziarahi beberapa keluarga yang sakit kronik bagi menyampaikan bantuan wang saku bagi meringankan beban keluarga mereka untuk pembelian ubat-ubatan.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam gerak kerja kali ini," katanya.


Tag: