• 24 Okt 2024 | 21 Rabiul Akhir 1446

Bantuan Bulanan Untuk Anak Yatim DUN Sura Terengganu Diperkenal

Wan Hapandi memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 7 April - Bantuan bulanan untuk anak-anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura telah diperkenalkan bagi membantu meringankan beban mereka.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik berkata, usaha kecil itu diharap dapat memberi keceriaan kepada anak yatim dan penjaga agar mereka dapat menjalankan aktiviti harian dengan lebih lancar.

Jelasnya, sumbangan tersebut turut dapat membantu golongan tersebut setelah kehilangan orang tersayang dalam hidup yang menjadi punca rezeki mereka.

“Sumbangan yang kita laksanakan ini diharap dapat meringankan beban anak yatim dan penjaga.

“Kita tahu bahawa anak anak yatim ini amat memerlukan bantuan kerana ada yang tiada ayah, ada yang tiada kedua duanya, maka dengan bantuan ini insyaAllah sedikit sebanyak dapat membantu,” kata beliau.



Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan tersebut di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun (MPD), semalam.

Menurut beliau yang juga ADUN Sura, majlis penyampaian bantuan itu merupakan antara satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang disediakan pihaknya.

Tambah Wan Hapandi, dalam perbincangan dan mesyuarat yang diadakan sebelum ini, pihaknya juga bersetuju untuk memberikan bantuan itu secara bulanan.

“Seperti bantuan bulanan Al Mustadh’afin (golongan asnaf), kita juga bersetuju untuk menjadikan bantuan ini sebagai rutin namun untuk permulaan.

“Kita laksanakan dua bulan sekali dahulu dan jika kewangan mencukupi di masa akan datang, kita akan laksanakan sebulan sekali pula,” maklum beliau.

Seramai 247 orang anak yatim bersama penjaga diraikan dalam majlis penyampaian bantuan yang bermula pada 8.30 pagi itu.




Tag: