• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Bantuan i-Perantau Bukan Wayang Politik'

KUANTAN, 24 Julai - Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan pemberian bantuan 'one-off' kepada rakyat Terengganu yang berada di perantauan merupakan wayang sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, tohmahan itu sengaja diadakan bagi memburukkan kerajaan negeri yang serius menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, ia boleh dibuktikan dengan melihat data agihan dana berkenaan.

"Bantuan ini telah diagihkan secara telus tanpa membezakan fahaman ideologi dan politik. Malah tidak perlu pakai kabel, cukup syarat, insya-Allah akan diberikan bantuan.

"Boleh dikatakan semua wakil rakyat PAS yang dipilih ini berusaha sedaya mungkin untuk memastikan kekayaan negeri Terengganu ini dibahagikan sama rata.

"Perkhidmatan yang diberikan selama ini telah memuaskan hari rakyat Terengganu, sehingga seluruh masyarakat khususnya anak muda pada hari ini jelas memberikan sokongan dan mahu melihat kerajaan ini dikekalkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir pada Program Penyerahan Dana i-Perantau dan Ramah Mesra Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di Dewan Sri Dagangan, di sini kelmarin.

Dalam majlis berkenaan, seramai 380 anak Terengganu di Pahang telah menerima manfaat daripada sumbangan terbabit.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, sebaik sahaja mengambil alih kerajaan pihaknya sudah memikirkan untuk mewujudkan bantuan tesebut.

"Dua tahun lepas kita tidak lakukan kerana pada waktu itu semua sedia maklum bahawa negeri dan juga seluruh negara dilanda ancaman wabak pandemik Covid-19.

"Sehingga tahun ini kita merasakan ini masa yang tepat untuk kita agihkan dana ini, sama ada i-Fitri untuk rayat yang berada di dalam negeri ataupun i-Perantau untuk mereka yang berada di perantauan," ujarnya.

Dalam pada itu, Hanafiah turut menegaskan PRU tidak akan berlaku pada tahun ini.

"Kemungkinan ia adakan diadakan pada tahun hadapan, jadi tidak kena jika setiap bantuan dan pemberian ini dikaitkan dengan PRU yang semakin hampir.

"Sebenarnya mereka tidak boleh kata apa dah, bahawa rakyat Terengganu akan  terus memberikan sokongan kepada kerajaan ini, mereka ingin melihat sekali lagi kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ini memerintah," ujarnya.