• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantuan Khas Diteruskan Walaupun Sesi Persekolahan Tangguh

KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Bantuan khas bagi meringankan bebanan golongan asnaf menyediakan pakaian dan peralatan sekolah akan diteruskan walaupun sesi persekolahan ditangguhkan berikutan peningkatan kes COVID-19.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, pengagihan bantuan khas berjumlah RM9.6 juta itu akan dimasukkan terus ke akaun Ketua Isi Rumah (KIR) selewat-lewatnya Rabu depan.

"Bantuan khas itu diluluskan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf menyediakan pakaian dan peralatan sekolah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), diumumkan kerajaan Selasa lalu," jelasnya pada sidang media di pejabatnya di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Osman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) yang memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan Rabu ini ditangguh berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19, di seluruh negara.

Tambahnya, pengumpulan data dan jumlah tanggungan terutama membabitkan murid dan pelajar setiap KIR golongan asnaf sedang diproses.

"Setiap KIR yang mempunyai tanggungan tiga orang ke atas akan menerima bantuan khas sebanyak RM500 dan tiga ke bawah RM300," ujarnya.