• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bantuan Zakat Terengganu Naik Hingga 25 Peratus

KUALA TERENGGANU, 14 April - Kadar bantuan zakat kepada golongan asnaf iaitu fakir dan miskin di negeri ini dinaikkan antara 16.6 peratus dan 25 peratus tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, seramai 22,857 Ketua Isi Rumah (KIR) golongan fakir dan miskin akan menerima bantuan zakat membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM13.5 juta.

Jelasnya, KIR fakir dan miskin yang mempunyai tanggungan tiga ke bawah akan menerima kenaikan 25 peratus iaitu daripada RM400 tahun lalu kepada RM500 tahun ini.

"KIR yang mempunyai tanggungan lebih daripada empat orang pula akan menerima kenaikan sebanyak 16.6 peratus iaitu dari RM600 kepada RM700 tahun ini.

"MAIDAM memahami kesusahan dihadapi golongan asnaf dalam menghadapi bulan Ramadan, terutamanya dalam keadaan pandemik COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya," ujarnya kepada media selepas mengagihkan bubur lambuk di perkarangan masjid negeri di sini hari ini.

Tambah Osman, bantuan zakat sempena Ramadan itu akan diagihkan minggu hadapan dengan kaedah disalurkan terus kepada akaun penerima.

"Kenaikan kadar bantuan itu dipersetujui ahli majlis mesyuarat MAIDAM bertujuan meringankan bebanan semua golongan asnaf.

"Kita meminta agar bantuan yang akan disalurkan digunakan dengan sebaiknya," katanya.


Tag: