Barang Cukup, Tidak Perlu Pembelian Panik
HULU TERENGGANU, 13 Disember - Orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik susulan terdapat ramalan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia pada awal tahun hadapan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya yakin rakyat lebih bijak dalam membuat penilaian sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan Mac tahun ini.
"Jika kita lihat pada awal diumumkan PKP telah berlakunya pembelian panik dan ia berubah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan seterusnya PKPP yang mana rakyat mula tidak panik melakukan pembelian sehinggalah sekarang.
"Pegawai KPDNHEP akan melaporkan kepada saya setiap hari tentang barangan dalam pasaran berserta dengan harganya.
"Tidak perlu bimbang kerana pihak kita memang pantau barang apa yang berkurangan atau barang mana yang naik harga,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke ladang Fertigasi di Kampung Pela, Ajil, hari ini.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, beliau percaya ramalan bahawa kes COVID-19 akan menjadi serius tidak berlaku.
"Lagipun tahun depan Malaysia dijangka akan dapat vaksin jadi perkara itu tidak akan berlaku," ujarnya lagi.
Terdahulu, seorang pakar dari China meramalkan kes penularan COVID-19 di Malaysia menjadi lebih serius dengan bakal mencecah sehingga 187,997 kes menjelang 25 Januari tahun depan
Sementara itu, dalam lawatan kali ini, beliau turut mempertimbangkan permohonan peruntukan hampir RM30,000 untuk baikpulih sistem paip air bukit di Pusat Tanaman Fertigasi berkenaan.