• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

‘Barisan Hadapan’ Komuniti Dun Batu Buruk Diraikan

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan, jawatankuasa samada di peringkat cawangan mahupun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah barisan hadapan masyarakat yang menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan kebajikan kepada rakyat sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19 yang lalu.

“Alhamdulillah, kita berjaya mengadakan majlis makan malam ini bagi memberikan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan walaupun mungkin ia tidak mampu membalas jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan, namun anggaplah ia sebagai tanda ingatan.

“Kalau dilihat bangunan yang kukuh dan besar, tidak akan terjadi tanpa pasir-pasir yang halus dan paku-paku yang kecil. Begitulah jika dilihat kerajaan Negeri Terengganu ini, kejayaan tidak akan terhasil tanpa jasa dan pengorbanan daripada pimpinan di peringkat komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim yang diadakan di Hotel Primula, semalam.

Turut hadir dalam majlis yang melibatkan 36 MPKK dalam Dun Batu Buruk tersebut ialah mantan ADUN Batu Buruk, Dato’ Hj Wan Abdul Mutalib Embong.