• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bas Kemaman Shuttle Beroperasi Mulai 1 November


Penduduk Daerah Kemaman bakal menikmati kemudahan pengangkutan awam yang baru apabila perkhidmatan Bas Kemaman Shuttle akan beroperasi mulai Rabu ini (1 November).

Ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek mengilhamkan perkhidmatan itu sebagai kemudahan untuk penduduk mendapat akses yang lebih baik dari kawasan kediaman mereka ke sekitar Bandar Kemaman.

Penyelaras Projek Bas Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, bas berkenaan dijadualkan akan tiba di setiap hentian tiap-tiap satu jam bermula 7 pagi dan berakhir  pada jam 6 petang.

"Bagi fasa pertama yang juga fasa percubaan, Perkhidmatan Bas Kemaman Shuttle itu akan mengambil dan menurunkan penumpang di beberapa tempat sebanyak 21 hentian sekitar Bandar Chukai.

"Perkhidmatan ini akan memulakan perjalanan di Dataran Kuala Kemaman yang menjadi hentian utama sebelum bergerak ke 21 buah hentian yang telah ditetapkan.

"Hentian lain di Bank Islam Chukai Utama, Hospital Kemaman, Centre Point, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Majlis Perbadaran Kemaman, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Wisma Persekutuan, Klinik Kesihatan Chukai, Padang Astaka, Perpustakaan Awam Daerah dan Pejabat Parlimen Kemaman, Hai Peng Kopitiam," katanya.


Menurutnya, hentian pertama hingga ke 21 mengikut rangkaian laluannya adalah Dewan Sivik Geliga, Klinik Kesihatan Kuala Kemaman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, Perhentian Bas Geliga Intan, Masjid Kampung Paya Berenjut, Perhentian Bas Kampung Mak Lagam dan Depan Kilang Tamura Kampung Fikri.

"Hentian seterusnya yang akan dilalui adalah Pejabat Tabung Haji Kemaman, Stesen Bas Lama Kemaman, Tunas Manja, Stesen Bas Ekspres Geliga, SMK Geliga, Klinik Kesihatan Kuala Kemaman dan Pondok Polis Kuala Kemaman sebelum kembali semula ke Dataran Kuala Kemaman," katanya.

Fauzi berkata, pergerakan bas dari hentian utama di Dataran Kuala Kemaman melibatkan 12 perjalanan setiap hari, iaitu waktunya berselang sejam bemula dari jam 7 pagi perjalanan pertama, diikuti jam 8 pagi (perjalanan kedua), 9 pagi (perjalanan ketiga), 10 pagi (perjalanan keempat) dan begitulah berikutnya hingga jam 6 petang.

Tambahnya, perkhidmatan berkenaan adalah khidmat sosial yang tidak berasaskan keuntungan dan ia beroperasi hasil penajaan syarikat-syarikat swasta.

"Sehubungan itu, saya juga sangat mengalu-alukan kepada pihak lain untuk turut sama menaja kos operasi bas itu yang mana pihak penaja akan diberikan ruang pengiklanan di bahagian luar dan dalam bas serta di skrin LED bas berkenaan," katanya.

Tag: