• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Bascule Drawbridge Terengganu Beroperasi Bulan Depan

Orang awam melalui laluan Drawbridge yang dibuka kembali secara rasmi pagi ini.
KUALA TERENGGANU 1 Ogos - 'Bascule’ berukuran 76 meter yang menjadi keistimewaan jambatan angkat atau drawbridge di sini dijangka dapat beroperasi bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated (TI) Properties Sdn. Bhd., Khalizan Mahmud berkata, ketika ini pihaknya masih dalam proses penyelenggaraan komponen itu di samping sedang berbincang dengan Jabatan Laut bagi menentukan jadual operasi dan waktu bersesuaian untuk ia dibuka.

Katanya, berdasarkan perancangan awal bascule akan dibuka antara dua atau tiga kali seminggu selain pada masa kecemasan dan jika wujud keperluan.

"Kita telah melakukan ujian dan sehingga petang semalam didapati tiada sebarang masalah untuk kita membuka dan menutup bascule.

Khalizan Mahmud.
"Kita akan memaklumkan jadual pembukaannya pada setiap bulan supaya orang ramai dapat datang dan melihat sendiri bagaimana komponen itu dibuka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di jambatan angkat di sini hari ini.

Jambatan angkat yang merupakan mercu tanda ikonik baharu Terengganu dibuka semula kepada kenderaan tepat pukul 6 pagi ini selepas ditutup seketika untuk kerja-kerja penambahbaikan pada 17 Jun lalu.

Menurut Khalizan, orang ramai tidak perlu bimbang dengan keupayaan bascule kerana sistem yang digunakan pada drawbridge merupakan antara yang tercanggih di dunia, yang dapat membuka dan menutup jambatan dengan cepat serta selamat.

Dalam pada itu, katanya, ruang komersial di ‘sky bridge’ termasuk galeri dan restoran masih dalam proses pengubahsuaian dan ia dijangka dapat dibuka dalam tempoh dua bulan lagi


Katanya, walaupun bayaran masuk akan dikenakan kepada pengunjung sky bridge, namun caj itu kelak adalah lebih rendah berbanding menara-menara terkemuka yang ada di Malaysia.

"Menariknya, dalam tempoh enam bulan pertama selepas dibuka nanti kita juga akan memberikan tawaran harga diskaun kepada orang ramai supaya mereka dapat merasai peluang melihat pemandangan dari atas menara di samping menyaksikan pameran bertema di galeri dan menyertai aktiviti lain yang dianjurkan," katanya.

Khalizan mengulangi peringatan, walaupun semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan angkat itu, namun pengguna dilarang untuk meletakkan kenderaan atau berhenti kerana boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.

Katanya, mana-mana pengunjung yang ingin melawat jambatan unik yang satu-satunya di Asia itu diminta meletakkan kenderaan masing-masing di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan.

SUMBER: UTUSAN/ Rosalinda Md. Said

Tag: