• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Batu Karang Patah Tidak Mati

Encik Fadli Yusof Zakaria. Foto - Syaiful Mustafa
DUNGUN -  Majlis Perbandaran Dungun (MPD) melancarkan program pemulihan (restoration) batu karang bertujuan untuk pembiakan dan penjagaan hidupan marin di Pulau Tenggol di sini.

Setiausaha MPD, Encik Fadli Yusof Zakaria berkata, aktiviti tersebut adalah yang julung-julung kali diadakan di pulau berkenaan dan ianya mendapat sambutan daripada pencinta hidupan laut dalam dan luar negara.

"Aktiviti ini yang pertama kali diadakan adalah sempena Sambutan Satu Dekad MPD yang bertujuan untuk menjaga kawasan taman laut dengan baik," jelasnya.

Menurut beliau, taman laut setiap pulau di Terengganu berada di sekitar tiga batu nautika sekeliling pulau kecuali Pulau Kapas yang hanya dikira satu batu nautika dari pulau berkenaan.

Tukun paip PVC digunakan untuk pemulihan batu karang di Pulau Tenggol, Dungun.
"Ini kerana Pulau Kapas terlalu hampir dengan daratan maka jaraknya pun sedikit berbanding dengan pulau-pulau lain, " jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita sewaktu Majlis Perasmian Pemulihan Batu Karang di Pulau Tenggol di sini, pada 13 Ogos.

Turut hadir,  Ahli MPD,  Haji Abdul Hamid Ismail, Pegawai dan Kakitangan dari Jabatan Perikanan Malaysia Cawangan Terengganu, Encik Wan Mohamad Wan Ngah, wakil Jabatan Taman laut Malaysia Cawangan Terengganu dan Jabatan Bomba dan wakil Penyelamat Daerah Dungun.

Sementara itu,  Aktivis Konsurvasi Marin, Jabatan Taman Laut Malaysia Cawangan Terengganu Encik Aznan Abas berkata, Pulau Tenggol kini dikenali sebagai 'Pulau Sipadan Malaysia' dalam kalangan penyelam skuba kerana terumbu karangnya antara yang tercantik di dunia.

Katanya,  pulau tersebut menjadi destinasi utama penyelam skuba dari luar dan dalam negeri.

"Batu karang ialah sejenis haiwan, bukan tumbuh-tumbuhan.

"Kalau manusia,  rangka tulang ada di dalam tubuhnya tetapi sebaliknya rangka tulang batu karang berada di luar," jelasnya.

Menurut beliau, batu karang yang patah tidak mati dan ia boleh dipelihara dengan diikat di tukun diperbuat dari paip jenis PVC sebagaimana dikelolakan oleh MPD.

"Dalam tempoh lima tahun,  ia akan membesar dan keindahannya akan jelas kelihatan," katanya.

Pulau Tenggol terletak sejauh 45 kilometer dari Jeti Dungun di sini.

Dengan jarak perjalanan sejauh itu, pulau tersebut  belum diganggu dengan pembangunan moden.

Ianya sesuai dengan kehendak pelancong yang suka melihat alam semulajadi (nature) terutamanya pelancong dari luar negara.

Dengan ukuran sepannjang tiga kilometer dan selebar dua kilometer sudah cukup untuk para pelancong menikmati keindahannya.

Antara hidupan laut yang boleh dilihat di sini ialah karang lembut (soft corall), nudibranch, seaweed, 'batfish', penyu laut, 'napoleon wrash', 'clownfish (nemo fish)' dan yu paus.


Tag: