• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bayi Empat Bulan Koma Dipercayai Didera Pengasuh

KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas mengalami pendarahan dalam otak yang serius dan keretakan pada tempurung kepala dipercayai akibat didera pengasuhnya di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, mangsa kini kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) sejak Rabu, minggu lalu.

"Kejadian disedari bapa mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil bayinya di pusat jagaan tersebut mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan kesakitan lalu dibawa ke hospital.

"Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat darah beku dalam kepala bayi itu dan bapa mangsa membuat laporan polis pada hari sama.

"Susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, semalam pihak polis telah menahan tiga pengasuh wanita berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun dalam satu serbuan di taska tersebut  bagi membantu siasatan kes penderaan ke atas bayi malang berkenaan," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu di sini hari ini.

Menurut Rohaimi, ketiga-tiga suspek pada awalnya telah dipanggil untuk memberi keterangan dan menafikan kejadian tersebut serta memberikan keterangan meragukan.

"Namun hasil siasatan lanjut ke atas kamera litar tertutup (CCTV) di taska tersebut, dipercayai terdapat unsur-unsur jenayah terhadap mangsa yang dilaporkan baru sahaja didaftarkan di taska tersebut selama tiga hari sebelum kejadian berlaku," ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.