• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bazar Ramadan Food Truck Bawa Kelainan

Suasana Bazar Ramadan Food Truck, di hadapan PB Square, Kuala Terengganu
 
Bazar Ramadan Food Truck, di hadapan PB Square, Kuala Terengganu membawa kelainan kerana nampak lebih tersusun, kemas dan memberi  keselesaan kepada pelanggan untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

Bazar berkonsep baharu yang diperkenalkan Persatuan Usahawan Trak Terengganu (T-Trak) itu adalah yang pertama seumpamanya di Terengganu,  menjual pelbagai juadah seperti kebanyakan bazar Ramadan lain di negeri ini.


Apa yang membezakanya, tiada payung beraneka warna , tidak berbumbungkan kanopi , tiada  meja untuk mempamerkan juadah  sebaliknya  pelanggan boleh mendapatkan pelbagai masakan panas dari atas trak.

Antaranya, kambing bakar, burger, pizza, roti ban, bebola daging, burger, ayam goreng, pelbagai kuih muih tradisional dan minuman panas serta sejuk.

Kreativiti yang dicetus 12 peniaga tempatan yang juga ahli T-Trak itu mendapat sambutan sangat menggalakkan apabila setiap meja dipenuhi pelanggan sewaktu berbuka puasa dan bersahur.

Hazim
Perniagaan sepanjang Ramadan itu dibuka mulai jam 4.00 petang sehingga 8 malam dan  berurusniaga kembali pada jam 10.30 malam sehingga 5.30 pagi.

Pengerusi T-Trak yang juga peniaga kambing bakar, Hazim Fadli Abd Karim, berkata  walaupun konsep itu masih baru di Terengganu, orang ramai  terutama yang berkerjaya dan golongan belia tidak janggal untuk menerimanya.

“Mereka nampak lebih selesa dan rata-rata pelangan mengakui lebih gemar ke Bazar Ramadan Food Trak kerana tidak perlu berebut untuk mendapatkan makanan,  kebersihan lebih terjamin dan selain boleh menikmati hidangan panas sewaktu berbuka,” katanya.

Sarihah
Peniaga Char char kuey teow, Sarihah Ibrahim, 42, berkata,  dia yang mula berniaga di tapak itu sejak Disember tahun lalu, mengambil keputusan untuk bersama-sama ahli lain membuka bazar Ramadan berkonsep baharu atas permintaan pelanggan yang mahukan kelainan.

“Kebanyakan pelanggan kami adalah orang yang sama, mereka mahu peniaga di sini kekal dengan imej ketika berurusniaga pada bulan sebelum ini,”katanya.



Tag: