• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Beach Comber' Sapu Sampah Pantai Terengganu

KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Kerajaan negeri bakal menggunakan jentera 'Beach Comber' dan traktor bagi operasi pembersihan sampah sarap di kawasan pantai tumpuan pelancong di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, inisiatif itu melibatkan tiga lokasi pantai utama iaitu Pantai Pandak, Batu Burok serta Teluk Ketapang.

Ujarnya, pembersihan pantai berkenaan akan dilakukan secara berkala sebanyak dua kali seminggu bagi memastikan kebersihan dan keindahannya kekal terpelihara.

"Ini menjadi 'pilot project'  bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan pesisiran pantai. Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang menerimanya untuk menjaga tiga pantai  yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk datang berkunjung.

"Insya-Allah kalau ia boleh memberikan hasil yang baik dan berkesan, kita akan pertimbangkan untuk diserahkan ke daerah lain pula,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan 'Beach Comber' dan Traktor berharga RM470,000 kepada MBKT, di Hotel Primula , di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar, Datuk Rosli Latif.

Mengulas lebih lanjut mengenai penggunaan jentera tersebut, Dr Alias berkata, ia akan membantu kerja-kerja pembersihan pantai dengan lebih pantas, menjimatkan tenaga, masa, meningkatkan produktiviti pekerja dan akan lebih efisien.

"Antara kelebihannya lagi ialah, ia berkeupayaan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dalam keadaan pasir kering, lembap atau basah juga dilengkapi sistem penapis untuk menapis sampah di pesisir pantai seperti botol, kaca, batu, kayu dan lain-lain sampah yang dihanyutkan oleh ombak ke pesisir pantai," jelasnya.

"Namun begitu, kesedaran dalam kalangan orang ramai tetap perlu dipertingkatkan agar mengambil langkah untuk bersama-sama memelihara kebersihan pantai dengan tidak lagi mengamalkan sikap buang sampah merata-rata.

"Sebaliknya amalkan sikap membuang sampah di dalam tong sampah yang telah disediakan dengan cukup banyak di kawasan tumpuan orang ramai ini,"katanya.