• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Bekalan Air Dijangka Pulih Berperingkat Mulai Sabtu Ini

KUALA TERENGGANU, 10 0gos – Pengguna yang terjejas dijangka akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat pada jam 12 pagi 14 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, ia berdasarkan status proses pembaikan semasa dan tahap kesukaran yang ada.

Katanya, kaedah ‘clamp’ merupakan penyelesaian paling menjimatkan masa iaitu selama tujuh hari pada awal jangkaan.

“Proses memasang Anchor Airbag pada paip telah pun siap sepenuhnya 100 peratus dan proses susulan memasang Pipe Alignment Clamp juga telah siap 100 peratus.

“Sehingga semalam, kerja-kerja mencabut Clamp sedia ada bersaiz 1,600mm juga telah selesai 100 peratus. Seterusnya pada hari ini, kerja-kerja kimpalan bagi memperkukuhkan struktur paip.

“Manakala proses susulan yang belum selesai adalah memasang Clamp bersaiz 1,600mm serta membuat Cement Grounding,” katanya semasa sidang media ‘Krisis Air Berangan’ di Ibu pejabat SATU, di sini petang tadi.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Menurut Dr Mamad lagi, pihaknya bersama SATU telah merangka penjadualan baki kerja-kerja pembaikian sehingga selesai bermula dengan operasi kimpalan memperkukuhkan struktur paip bermula esok sehingga 13 Ogos.

“Pada 16 Ogos, sistem agihan dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan terlibat membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lalu," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan kesukaran dan halangan, Dr Mamad menjelaskan, arus di dasar sungai yang deras beberapa hari ini telah menjejaskan penglihatan dan wujudnya pengcahayaan yang terhad kesan daripada berlakunya paras kekeruhan di luar jangka.

“Selain itu, kerosakan ini adalah memerlukan kepakaran yang tinggi dan penilaian situasi. Pihak kontraktor dan pasukan teknikal telah berusaha sehabis daya dan upaya bagi memastikan kerja-kerja pembaikan adalah mengikut jadual,” tambahnya lagi.

Jelasnya lagi, beliau turut memohon maaf kepada seluruh pengguna terkesan di kawasan terlibat dan berharap agar semua pihak sabar dengan memahami kesukaran kerja-kerja pembaikian di dasar Sungai Terengganu.

“Saya doakan kerja-kerja pembaikian berjalan dengan lancar, Insya-Allah,” katanya lagi.

Punca berlakunya kerosakan tersebut sedang disiasat oleh jawatankuasa khas terdiri daripada pelbagai agensi seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan SATU.