• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bekalan Air Terputus Dijangka Pulih 12 September

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 150,000 penduduk di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 20 hari lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, berkata setelah pengesanan dilakukan di dasar sungai pihaknya mendapati kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) kali ini lebih teruk berbanding yang terdahulu.

Katanya, disebabkan itu ia memerlukan masa dan  kepakaran tinggi untuk membaikinya.

"Kalau sebelum ini, paipnya dalam keadaan senget sahaja tapi kali ini paip dalam jajaran yang sama tapi lokasi berlainan dikesan telah patah.

"Kerosakan dipercayai berpunca daripada kejadian luar jangka selepas kerja baikpulih siap pada 12 Ogos lalu dan lokasi paip pecah baharu ini adalah sejauh 24 meter dari lokasi paip pecah asal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di pejabat Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), di sini hari ini.

Tambah beliau, SATU sedang meneliti satu kaedah terbaik dengan mengambil kira pelbagai faktor berkaitan supaya paip yang dibaiki lebih kukuh dan tahan lama.

Justeru itu katanya, kerja-kerja untuk mengaktifkan Loji Bukit Berapit dengan kapasiti 60 juta meter padu yang dijangka dapat beroperasi pada bulan depan berbanding tarikh sebenar pada Mei 2022.