• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bekas Dekan Pengajian Islam Kusza Dianugerahkan Tokoh Abidin 2016


Tan Sri Dato' Prof Dr Mohd Yusoff Noor (Kanan) memberi plak penghargaan kepada Jaafar Hassan.

Bekas Dekan Sekolah Pengajian Islam Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza), Jaafar Hassan, 81, dianugerahkan Anugerah Tokoh Abidin (Persatuan Alumni Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (SMSZA) Kuala Terengganu) sempena Mesyuarat Agung Abidin dan Majlis Hari Raya Aidilfitri di Hotel Felda Residence, Kuala Terengganu, kelmarin.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Abidin, Tan Sri Dato' Prof Dr Mohd Yusoff Noor. Hadir sama, Timbalannya yang juga Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Dato' Muda Mamat dan Naib Yang Dipertua persatuan, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Sementara itu, Jaafar yang juga bekas pelajar SMSZA merupakan pelajar Melayu pertama mendapat Anugerah Pingat Emas Syahadah Tertinggi di Majlis Hari Ilmu Pengetahuan yang dianugerahkan oleh Presiden Jamal Abdul Nasir pada 1962.

Beliau meninggalkan tanah air untuk menyambung pelajaran di Madrasah Al-Mansuriah dan Al-Maahad Al-Ilmi As-Saudi di Mekah pada 1952 sebelum meneruskan pengajian di Maahad Al-Buúth Al-Islamiah Al-Azhar, Mesir selama dua tahun.

Jaafar seterusnya menyambung pengajian di Universiti Al-azhar, Mesir sehingga menerima Ijazah Saujana Muda Syahadah Al-Aliah sebelum pulang ke tanah air pada 1964 dan terus menabur bakti di negeri tercinta.

Sebaik pulang, beliau memulakan khidmat di Madrasah Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu selama 18 tahun sehingga dilantik sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dan pada 1982, beliau dinaikkan pangkat sebagai pengetua Sekolah Menengah Agama Khairiah.

Sepanjang penglibatan di bidang keagamaan, beliau turut mengarang sebuah buku bertajuk “At Tazkirah Wal Mau’ízah” diterbitkan pada 2003 dalam edisi rumi dan 2007 dalam edisi jawi.

Dalam pada itu, Jaafar turut menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual minyak ubat warisan keluarga, iaitu minyak Akar Kayu Pak Ali Yunan dan amat dikenali oleh masyarakat di Terengganu lebih 100 tahun lamanya.

Sehingga kini, beliau masih bergiat aktif dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat setempat dengan menyampaikan Kuliah Maghrib pada setiap malam Isnin di Masjid Tengku Sulong, Kuala Ibai dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah Ladang.

Tag: