• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bekas Wanita UMNO Boleh Terus Berjuang Untuk Parti - Fatimah



Mantan pemimpin wanita UMNO masih mempunyai ruang untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara walaupun mereka tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Fatimah Hamat berkata, UMNO amat menghargai taat setia dan kerja keras Wanita UMNO yang disifatkan antara faktor yang membolehkan parti itu kekal menerajui kepimpinan negara.

"Wanita telah berdepan dengan pelbagai cabaran dan ujian bersilih berganti, namun atas permuafakatan dan penyatuan yang kukuh dan teguh, kita dapat mengatasi setiap halangan dari dalam mahupun dari luar parti kita sendiri.

"Oleh itu, kita ambil pendekatan untuk terus meraikan mantan-mantan jawatankuasa Wanita UMNO dan mereka patut diberikan penghormatan dan anugerah sementara nyawa masih dikandung badan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Terengganu berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu,Kuala Berang, semalam.

Menurut Fatimah lagi, bekas-bekas pemimpin itu telah berjuang dalam parti dan jasa mereka tidak ternilai dengan wang ringgit.

Sementara itu, 20 bekas pemimpin tempatan yang terdiri daripada bekas Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Cawangan diraikan dalam majlis itu.

Mereka yang terpilih turut diberikan sijil penghargaan khas sebagai tokoh pemimpin tempatan di atas sumbangan dan jasa yang ditaburkan untuk pembangunan dan kebajikan kepada rakyat daerah ini.

Hitam Othman

Seorang penerima,Hitam Othman,61, berkata,beliau amat terharu dengan penghormatan dan pengiktirafan yang diberikan.

Jelasnya yang pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Peneh, Ajil selama 10 tahun menyifatkan penghargaan ini paling bermakna dalam perjuangannya selama ini.

"Terima kasih kepada Datuk Ketua Wanita yang telah menganjurkan program seumpama ini bagi meraikan dan mengenang jasa-jasa pemimpin terdahulu.

"UMNO dulu kini dan selamanya, tidak kira siapa yang menjadi calon dan membawa tiket Barisan Nasional..orang itulah yang kita sanjung dan perjuangkan sebagai pemimpin,"katanya lagi.

Raja Kelsom Raja Muda

Bagi Bekas Ketua Wanita UMNO Padang Ujib, Manir,Raja kelsom Raja Muda,63, yang pernah berkhidmat lebih 20 tahun di bawah dua era pimpinan Ketua Wanita Bahagian merasakan perjuangan UMNO tetap masih relevan.

Dia yang kini telah bersara kerana keuzuran berkata, penghargaan ini merupakan satu pendekatan yang baik dan tidak menyisihkan pemimpin-pemimpin lama.

"Saya bersyukur dan amat gembira sekali kerana diraikan pada malam ini dan saya rasa amat bersemangat untuk meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan agama walaupun dalam keuzuran," katanya.

Tag: