• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Belanjawan 2021: Bantuan Tambahan RM200 Bagi Rakyat Berpendapatan Rendah

KUALA TERENGGANU, 23 November-  Seramai 48,500 isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) akan menerima bantuan tambahan berjumlah RM200 daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan secara one-off itu melibatkan peruntukan berjumlah RM9.7 juta di bawah program Cakna Rakyat Terengganu.

"Selain itu, bantuan bagi menyokong kumpulan isi rumah B40 serta golongan yang ditimpa musibah kesihatan dan bencana turut diperuntukkan melalui bantuan persekolahan sebanyak RM7 juta dan RM5 juta bagi Tabung Darul Iman.

"Kerajaan Negeri juga memahami tekanan yang dihadapi oleh peniaga kecil dan penjaja. Dengan ini, kerajaan negeri mengumumkan tiada kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3.5 juta bagi Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sebagai sokongan kepada pengusaha-pengusaha kecil negeri itu.

"Kita mengharapkan dengan inisiatif ini dapat merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu dan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja," katanya.

 

 


Tag: