• 26 Jan 2021 | 12 Jamadil Akhir 1442

Belanjawan 2021 : Kawasan Perdagangan Bebas Diwujudkan

KUALA TERENGGANU, 23 November - Bagi menggalakkan lagi aktiviti import dan eksport serta pergudangan dan perniagaan secara pukal, kerajaan negeri bakal mewujudkan kawasan perdagangan bebas di Teluk Kalong, Kemaman.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha melalui anak syarikat kerajaan, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) turut berpeluang merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan masyarakat setempat.

"Bagi memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu seperti Emerald USA dan Malaysia Phosphates, Pelabuhan Kemaman juga akan diperbesarkan.

"Ini kerana pada masa sekarang kadar purata pengendalian kargo di Dermaga Timur adalah melebihi 50 peratus kapasiti iaitu bersamaan dengan 4 juta metrik tan kargo setahun dan dijangka melebihi 14 juta metrik tan kargo pada tahun 2024; melangkaui kapasiti kemudahan sedia ada.

"Diharapkan pembesaran ini dapat memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu," katanya  ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas mengenai kemajuan perkhidmatan kesihatan pula, beliau berkata ia telah berkembang sebanyak 13 peratus dalam kumpulan Terengganu Incorporated di bawah Kumpulan Medic Iman.

"Ia juga dilihat maju setapak lagi apabila kita bakal menyaksikan Pusat Jantung akan dibuka di Kuala Terengganu Specialist Hospital, dalam suku pertama tahun 2021. Kerajaan Negeri juga akan membina hospital baharu di Chukai, Kemaman dengan kapasiti sebanyak 150 katil dan pembesaran Kuantan Medical Centre serta Kelana Jaya Medical Centre.

"Selain itu, pengambilalihan dan pembesaran Tawau Specialist Hospital dengan kapasiti sebanyak 75 katil akan dilaksanakan dalam suku kedua tahun 2021," jelasnya.


Tag: