Belanjawan 2021: RM1 Bilion Untuk Bendung Gelombang Ketiga COVID-19
KUALA LUMPUR, 6 November - Kerajaan pusat memperuntukkan RM1 bilion bagi membendung gelombang ketiga COVID-19.
Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Tengku Zafrul Abd Aziz berkata ia bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan COVID-19.
"Peruntukan ini antaranya RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Keduanya, sebanyak RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan KKM.
"Ketiga, RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19,"ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Tengku Zafrul lagi, sebanyak RM50 juta juga diperuntukan bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal
dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.
"Ini termasuk menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi
memenuhi SOP norma baharu," katanya
Terdahulu, kerajaan telah memperuntukkan 1.8 bilion ringgit pada tahun ini untuk membendung penularan wabak pandemik ini.