• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Belanjawan 2021: Terengganu Tubuh Jawatankuasa Adaptasi COVID-19

KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Terengganu akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengadaptasi kesan pandemik COVID-19 kepada negeri tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi merencana pendekatan baharu dalam menghadapi COVID-19 di Terengganu.

"Iaitu daripada bertindak balas (response) terhadap impak kepada penyesuaian (adaptation) dengan keadaan memandangkan pandemik COVID-19 ini tiada ketentuan mengenai penghujungnya.

"Jawatankuasa ini akan melibatkan pelbagai Agensi Negeri dan Persekutuan serta berperanan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri sebarang keputusan dan tindakan yang boleh serta perlu diambil bagi tujuan (i) mempromosikan kesihatan dan pembudayaan kebiasaan baharu, (ii) menjamin ketersediaan dan kebolehcapaian keperluan asas dan (iii) melestarikan kemandirian individu, isi rumah dan perniagaan.

"Peruntukan sebanyak RM100 ribu digunakan bagi melaksanakan kempen norma baharu,” katanya sewaktu membentangkan Bajet Terengganu 2021 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.


Tag: