KUALA TERENGGANU, 11 November – Belanjawan Negeri Terengganu 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” menampilkan pendekatan komprehensif dan berpaksikan rakyat dalam memperkukuh kemajuan ekonomi, sosial serta pentadbiran negeri secara seimbang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, belanjawan dengan peruntukkan RM1.938 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM450 juta untuk pembangunan.
Menurutnya, belanjawan tersebut menggambarkan kemampuan kerajaan negeri mengurus sumber kewangan secara berhemat sambil memastikan setiap inisiatif memberi impak nyata kepada rakyat.
“Belanjawan ini digubal dengan matlamat untuk memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat langsung kepada rakyat, di samping memperkukuh asas ekonomi dan tadbir urus negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau juga berkata, tiga fokus utama menjadi teras pelaksanaan belanjawan kali ini, iaitu memperkemas tadbir urus kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan, menstruktur daya tahan ekonomi untuk memacu pertumbuhan, dan melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan inklusif.

Belanjawan tersebut turut menekankan tujuh pemacu utama pembangunan negeri, antaranya pengukuhan pangkalan data rakyat, pelaksanaan pendekatan whole-of-state, peningkatan kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengarusperdanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET), dan pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Pendekatan ini sejajar dengan matlamat untuk mempercepat transformasi pentadbiran dan pembangunan negeri yang lebih mampan serta berpandangan jauh,” katanya lagi.
Tambah Hanafiah, melalui langkah-langkah berstrategi ini, kerajaan negeri komited memastikan pembangunan negeri berjalan secara mampan, inklusif dan berdaya tahan selaras dengan visi Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera menjelang tahun 2030.