• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Belia Aset Negara Dan Bakal Pelapis

 

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 24 Disember- ADUN Belia Terengganu yang dilantik oleh pihak kerajaan  adalah aset negara dan bakal pelapis yang akan memimpin serta mengambil alih ‘orang lama’ nanti.

Yang DIpertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, golongan ini juga ada peranan masing-masing untuk dimainkan bagi menyelamatkan masyarakat orang Islam dan bukan hanya sekadar dalam persidangan sahaja.

“Sidang Belia yang diadakan adalah bagi mencungkil bakat-bakat kepimpinan dalam kita menghadapi satu cabaran pada masa depan. Pembinaan dan kekuatan yang ada dalam sebuah masyarakat dan negara itu akan dilihat  pada belia itu. 

“Dan inilah peluang yang terbaik untuk menunjukkan bakat  samada bakat kepimpinan ataupun  bakat dari segi bagaimana golongan belia yang merupakan ‘stakeholder’ (pemegang taruh) yang menjadi sebahagian kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka bagi memberikan pandangan dan cadangan serta kritikan kepada kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program perasmian Penutup Persidangan Persidangan Kali Kedua Penggal Pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu di Dewan Undangan Negeri, Tingkat U2, Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Menurutnya, ADUN Belia yang dipilih diharap agar gigih menjalinkan hubungan yang kuat di tempat masing-masing  dan di kawasan yang lain juga.

“Saya rasa begitu sayang sekiranya yang dipilih ini hanya diguna pakai dalam dewan ini sahaja. Mereka  mesti manfaatkan, bukan habis di sini dalam waktu bersidang sahaja dan mesti ada ‘follow up’ susulan,” katanya.

Dato’ Yahaya menambah, golongan belia yang dilantik oleh kerajaan adalah untuk melahirkan dan mengasah bakat – bakat baru kepimpinan negeri sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan.

“Walaupun umur masih muda, mereka lebih tahu berkenaan dunia anak-anak muda pada masa kini  dan pihak kerajaan memberikan pengiktirafan kepada golongan yang diletakkan sebagai kekuatan yang ada pada sebuah kerajaan negeri,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau berharap agar semua pihak memberikan fokus kepada golongan belia 

 “Kalau kita bercakap soal bajet  tidak akan ketinggalan golonga belia antara yang diberikan perhatian dalam bajet belanjawan yang dibentang oleh Menteri Besar Terengganu baru-baru ini,” tambah Dato Yahaya.


Tag: