• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Belum Ada Kajian Buktikan Ketum Mampu Rawat Covid-19

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sehingga ke hari ini tiada satupun kajian yang tepat menunjukkan bahawa ketum boleh mencegah atau merawat individu yang dijangkiti Covid-19 sebagaimana yang tular di media sosial bermula Mac yang lalu.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, walaupun ada dimasukkan ke dalam pelaporan jurnal namun semuanya tidak menemui jalan penyelesaian bagi membuktikannya serta tidak konklusif malah hanya bersifat andaian semata-mata.

"Apa yang pasti kajian mendapati bahawa bagi pesakit mengambil bahan terlarang ini boleh mendatangkan mudarat yang lebih teruk berbanding orang lain.

"Bahan aktif 'metragynine' yang terdapat dalam ketum itu dikategorikan sebagai dadah berbahaya yang boleh merosakkan mental (psycho-active)," ujarnya melalui suatu kenyataan di facebooknya semalam.

Justeru katanya, jangan ada pihak yang menggesa pihak kerajaan mengambil jalan mudah membenarkan penggunaan bahan berkenaan bagi tujuan rawatan penyakit tersebut.

"Telah elok pesakit ditempatkan di pusat kuarantin, tiba-tiba semua jadi khayal daripada minum air ketum. Akan jadi cerita lain pula.

"Letih pula nanti 'frontliners' hendak melayan 'Mat Ketum'. Dahlah pesakit yang di dalam wad kritikal memerlukan perhatian penuh tanpa diganggu gugat dengan benda yang masih belum pasti, tiba-tiba hendak layan pula permintaan yang belum tentu ini," ujarnya.

Tambah pelik ujarnya, timbul kenyataan tidak berasas menyatakan kerana ia menyerupai bentuk 'coronavirus' maka ia mujarab untuk merawat mereka yang didapati positif menghidapi penyakit berkenaan.

"Sebagai sebuah masyarakat yang berilmu kita mesti mempunyai disiplin ilmu bagaimana untuk menzahirkan sesuatu dakwaan, tidak boleh semata-mata dilihat dari segi mata kasar dan terus mendakwa bahawa sesuatu bahan itu boleh merawat penyakit begitu sahaja.

"Ia mestilah dibuktikan menerusi penerokaan dan kajian yang tepat. Inilah yang diterapkan dalam agama kita sebagai orang yang berfikir dan mengkaji sebab akibat sesuatu itu berlaku," ujarnya.


Tag: