• 20 Sept 2021 | 12 Safar 1443

MARANG, 15 November – Bergelumang dengan lumpur untuk menangkap belut adalah mainan biasa bagi empat sahabat dari Kampung Seberang Marang di sini.

Mohd Aqid Islam Fikri, Mohd Ariff Farhan Akmal, Mohd Adam Adha Faiza dan Mohd Adam Ashraf Nasir yang merupakan pelajar darjah lima dan empat di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang gemar menangkap belut di kawasan baruh berdekatan rumah mereka.

Sejak penutupan sekolah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mereka berempat semakin rancak melakukan aktiviti itu yang turut memberi pulangan untuk simpanan masa depan.

Bapa kepada Adam Adha, Mohd Faiza Abdul Kadir, 40, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu mula berjinak dengan hobi tersebut ketika melihat bapa dan abangnya pergi ke baruh pada setiap pagi.

“Budak-budak ini belajar daripada kita (ayah dan abang), kemudian Adam kian bersemangat dan mengajak kawannya yang lain untuk tangkap sama-sama terutamanya selepas hujan. Itu masa paling sesuai memburu belut," katanya ketila ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini..

Bapanya yang juga seorang buruh berkata, setiap petang sekitar pukul 5, mereka memasang batang tukil (sejenis alat menangkap belut), yang dahulunya biasa diperbuat daripada buluh, berisi umpan cebisan ikan sepat.

“Kemudian, pada awal pagi jam 7, Adam dan rakan-rakannya akan mengumpul hasil dalam perangkap tersebut.

“Sekarang saya guna paip PVC dan dipasang oleh Adam dan Abangnya, setakat ini mereka ada kira-kira 30 batang.

“Mana yang mati kami makan, tapi belut ditangkap yang masih hidup Adam Adha sendiri akan jual kepada pengusaha restoran berhampiran yang membeli. Harganya pun Adam letak sendiri iaitu 1 kilogram RM20.

“Bergantung kepada rezeki, kadang-kadang hasil boleh mencecah sampai 4 ke 5 kilogram dalam satu hari terutamanya pada musim ini.

“Jadi boleh lah budak budak ni dapat hasil sambil sekolah tutup ini sebagai aktiviti bermanfaat sampingan," ulasnya.

Mengulas lanjut berkenaan hobi anaknya, Faiza berkata, dia tidak risau kerana kawasan baruh cetek dan sentiasa dikerumuni oleh pemancing dan orang kampung yang ingin melihat aksi mereka.