• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Bendera, Badminton Tema Merdeka Hiasi Kedai Pok Mi

Oleh : Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris

DUNGUN, 31 Ogos – Warna warni Jalur Gemilang ditambah dengan hiasan kotak bulu tangkis dan raket badminton sudah menjadi tradisi sambutan hari Kebangsaan di kedai makan Azmi Yusof atau lebih mesra disapa Pok Mi.

Terletak di Kampung Gong Pasir, warungnya sering menjadi tumpuan komuniti setempat kerana mahu melihat kibaran bendera Malaysia serta peralatan sukan badminton bertema menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pemilik kedai berusia 59 tahun itu menceritakan, kebanyakan barangan yang digantung di kedainya hasil daripada minat dalam mengumpul sejak dari umur 20 tahun sehingga sekarang.

“Saya mula aktif bermain badminton bermula dari usia 20-an sehingga negara telah merdeka selama 64 tahun, kini minat itu masih ada dan jauh daripada terpadam.

"Setiap kali sejak 8 tahun lalu, saya sudah bersiap sedia membeli banyak Jalur Gemilang dan bendera negeri dan menghias kedai saya bila tiba tanggal 31 Ogos.

"Harapan saya pada bulan kemerdekaan tahun ini, walaupun keadaan negara kita masih dilanda wabak COVID-19, namun semangat kecintaan tinggi terhadap negara sambutan kemerdekaan perlu ada pada diri kita,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini.

Tambahnya, orang ramai turut diseru agar terus tabah melawan wabak virus tersebut sehingga mencapai kemenangan dalam menangani peperangan menentang musuh halimunan itu.