• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Bengkel Bina Strategi Dan Perancangan Kerajaan Negeri

Dalam Bajet 2019 YAB Menteri Besar menyebut bahawa  rakyat Terengganu yang  mahukan keberkatan  mestilah  beriman dan bertakwa. Foto - Hadi Harun
KEMAMAN,  17 Disember - Bengkel Strategi dan Perancangan Penggubalan Dasar-dasar berkait portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri yang diadakan bermula kelmarin hingga hari ini diharap akan dapat menambah baik tiga dasar penting kerajaan negeri.

Pengerusinya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ia perlu dirangka dan disusun bagi menjayakan hasrat Menteri Besar (MB) Terengganu.

Katanya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Bajet 2019 mahu melahirkan rakyat yang memiliki empat sifat iaitu ubudiyah, mas’uliah, itqan dan islah.

“Portfolio ini merangkumi tiga dasar. Yang pertama dasar  pembangunan insan, yang kedua dasar dakwah dan yang ketiganya (dasar) penerangan.

“Bahkan dalam bajet MB menyebut bahawa  rakyat Terengganu yang  mahukan keberkatan daripada Allah mestilah beriman dan bertakwa. Sudah tentu dua perkara  ini merupakan  asas dalam membina  dan membangunkan insan di negeri Terengganu,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata demikian ketika ditemui pemberita pada bengkel tersebut di Darul Iman Training Centre (DITC) kelmarin.

Katanya, pergerakan dakwah hendaklah dibuat kepada seluruh sasaran, dalam dua keadaan. Yang pertama, kepada Muslim yang sudah berada dalam ruang lingkup kesedaran Islam. Mereka sentiasa memenuhi masjid-masjid, surau-surau, rumah Allah dan mereka berminat dengan agama.

“Yang kedua Muslim yang kemungkinan berada dalam kejahilan, kelalaian, kelekaan. Kita perlu mendekatkan mereka kepada agama Islam  itu sendiri. Manusia yang lupa tanggungjawab mereka kepada  keluarga, penagih dadah, LGBT dan berbagai isu yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, jelas Ustaz Mohd Nor, usaha penerangan adalah satu kerja yang besar untuk memberitahu apa sahaja yang hendak dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Ianya bertujuan supaya rakyat mengambil peluang daripada apa yang sedang  dilakukan oleh kerajaan dan rakyat sedar bahawa apa  yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk kepentingan dan kebaikan kepada mereka.


“Yang kedua untuk mengelakkan rakyat daripada terpengaruh dengan fitnah yang buruk,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap rakyat dapat menilai segala maklumat berasaskan Islam dengan tabayyun (selidik) dan cari penjelasan dan penerangan daripada sumber rasmi kerajaan negeri sendiri untuk menangkis fitnah.


Tag: