• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

Beras Madani Buat Rakyat Makin Tersepit

KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Keputusan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara bakal menyebabkan rakyat tersepit kerana tiada pilihan dalam mendapatkan sumber makanan ruji itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dahulu rakyat yang kurang berkemampuan boleh membeli beras tempatan berharga murah.

"Apa pun, kenaikan ini meletakkan rakyat dalam situasi tiada pilihan. Hendak tanak nasi, inilah saja beras yang ada. 

"Beras adalah sumber makanan ruji rakyat. Kenaikan ini meletakkan rakyat dalam situasi memikul bebanan perbelanjaan tambahan demi mendapatkan bekalan makanan ruji, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos hidup yang sudah sedia membebankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kerajaan perlu memberi penjelasan samada Beras Putih Malaysia Madani itu merupakan beras tempatan atau beras import, atau beras campuran keduanya.

"Kalau ia beras tempatan, bermakna ada kenaikan harga kira-kira RM1 bagi setiap kg berbanding harga sebelum ini RM2.50/kg.

"Sekiranya beras import, bermakna ada penurunan harga kerana sebelum ini beras import biasanya dijual sekitar RM3.80/kg. 

"Saya tak merasakan ia adalah beras import kerana kuantiti import beras kita hanya sekitar 33 peratus dari keperluan negara," ujarnya.

Menurutnya lagi, jika ia dihasilkan daripada campuran tempatan dan import, komposisi campuran tentunya 60-70 peratus ialah beras tempatan dan bakinya adalah beras import.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan keputusan memperkenalkan Beras Madani pada sidang media, dua hari lalu.

Serentak itu, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg),  berkuat kuasa Isnin ini.

Dalam sidang media tersebut, Syed Abu Hussin Hafiz memaklumkan, penetapan harga siling muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.

Beliau turut memberitahu media bahawa ketetapan dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dan perkara berkenaan sudah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Tag: