Graduan Perlu Tingkat Kemahiran Bagi Penuhi Keperluan Industri
Poster: FB Terengganu FC
KUALA NERUS, 22 Januari - Terengganu FC terpaksa berhempas-pulas sebelum berjaya menumpaskan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar FC 1-0 dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shoppe 2025, sebentar tadi.
Kemenangan hasil jaringan tunggal kapten pasukan, Safawi Rasid itu membantu Terengganu FC mencerahkan peluang untuk ke peringkat separuh akhir kejohanan tersebut.
Turun dengan kekuatan penuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Badrul Afzan Razali mempamerkan corak permainan menyerang bermula dari minit pertama perlawanan.
Pada minit ke-22, kesilapan pertahanan Shahrul Nizam Ros Hasni nyaris membawa padah kepada tuan rumah, apabila beliau tertampan bola hampir-hampir memasuki gawang sendiri.
Percubaan tepat pertama Terengganu FC hadir pada minit ke-24 menerusi Ismail Akinade yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti, tepat ke dakapan penjaga gol pelawat, Muhammad Reza Arya Pratama.
Enam minit kemudian, PSM Makassar FC mendebarkan penyokong yang hadir apabila penyerangnya, Ricky Pratama menerima umpanan di dalam kotak penalti tanpa dikawal pertahanan, mujur rembatan pemain muda itu melambung melepasi gawang.
Pada minit ke-41, Akhyar Rashid berjaya mengumpan bola dalam satu serangan balas membolehkan Akinade berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, tetapi penyerang kelahiran Nigeria itu gagal menyudahkan peluang terbaik untuk Sang Penyu mendahului lawan.
Keputusan kekal tanpa jaringan pada separuh masa pertama sekalipun Terengganu FC merekodkan lapan percubaan ke kubu pelawat.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC sekali lagi mencatatkan percubaan menerusi tandukan Akinade yang tersasar ke sisi gawang pada minit ke-49.
Pada minit ke-52, Safawi pula hampir memecahkan kebuntuan jaringan melalui sepakan percuma, namun cemerlang dinafikan Reza Arya.
Akhirnya pada minit ke-62, Terengganu FC memperoleh peluang keemasan selepas hantaran lintang Nurillo Tukhtasinov terkena tangan pertahanan PSM Makassar FC di dalam kotak penalti.
Safawi mudah menyempurnakan sepakan penalti memastikan Terengganu FC memiliki kelebihan satu jaringan pada minit ke-64.
PSM Makassar FC cuba bangkit dengan serangan bertali arus pada minit ke-70, namun Rahadiazli Rahalim cemerlang mengawal gawangnya.
Memasuki minit ke-91, Muhammad Arham Dermawan hampir menyamakan kedudukan buat PSM Makassar FC, bagaimanapun tandukannya sekadar melepasi palang gol.
Kecemerlangan Rahadiazli dan benteng pertahanan membantu tuan rumah kekal di hadapan sehingga wisel penamat ditiupkan.
Kemenangan malam ini membantu Terengganu FC mendaki ke kedudukan kedua Kumpulan A dengan tujuh mata.
PSM Makassar FC jatuh ke tangga ketiga dengan perbezaan satu jaringan.
Manakala, BG Pathum United yang menewaskan Shan United dalam satu lagi aksi malam ini, kini muncul pendahulu Kumpulan A dengan lapan mata.
Terengganu FC akan menentang BG Pathum United pada 5 Februari nanti di gelanggang lawan bagi aksi terakhir peringkat kumpulan.