• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Berbeza Parti Bukan Alasan Menafikan Bantuan

KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Spekulasi segelintir pihak bahawa kerajaan negeri tidak akan menyalurkan bantuan jika berbeza parti adalah jelas satu tanggapan yang salah.

Perkara itu dibuktikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah melalui siri-siri agihan barangan keperluan dalam program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT).

Jelas Wan Sukairi, dalam penyaluran bantuan terbaharu, pihaknya telah berhubung dengan Urus Setia UMNO DUN Wakaf Mempelam bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai ahli-ahli parti itu yang memerlukan sumbangan.

“Saya meminta mereka mengenalpasti ahli-ahli UMNO di DUN Wakaf Mempelam yang memerlukan bantuan dan tidak mendapat bantuan BERKAT 3.0 yang telah diagihkan lalu.

“Alhamdulillah, pihak mereka telah menyerahkan lebih 200 nama ahlinya yang terkesan.

“Namun daripada jumlah keseluruhan tersebut hanya 60 orang sahaja lagi yang tidak mendapat bantuan BERKAT 3.0, selebihnya telah memperolehinya dengan diagihkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing,” katanya di Facebooknya hari ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Terengganu itu, sebaik sahaja menerima senarai keluarga dan individu tersebut, pihaknya terus mengagihkan sumbangan yang diperlukan.

“Hari ini, saya diwakili oleh pegawai saya, Azmi A.Rahman untuk menyerahkan sumbangan makanan kepada 38 keluarga dan sumbangan kewangan untuk 22 orang bujang. 

“Pihak Urus Setia UMNO DUN Wakaf Mempelam telah diwakili Azwan Nazzul. Terima kasih buat Urus Setia UMNO DUN Wakaf Mempelam.

“Usaha dan kolobrasi ini telah kita adakan sejak daripada agihan bantuan sumbangan sebelum ini lagi. Walau apapun latar belakang politik, semuanya tetap dekat di hati saya dan semuanya adalah tanggungjawab saya,” tambah beliau.

 

 


Tag: