• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Beregu CBBC dan GTBC Cemerlang Raih Johan


Azmi (Tengah) bersama Johan Kategori Expert dan Novice 
Oleh: Ariss Alias

SETIU, 4 Ogos – Pasangan beregu Mohd Amirul Aizat dan Ahmad Bustamin Abdullah daripada Chalok Barat Badminton Club (CBBC) dan Mohd Syahrizal Arbae yang berpasangan dengan Mohd Syahmi Awang daripada Gong Terap Badminton Club (GTBC) cemerlang meraih johan kategori masing-masing.

Pada peringkat akhir Kejohanan Badminton Tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap yang berlangsung di Dewan Sivik Chalok Kedai, pasangan daripada CBBC itu mengenepikan cabaran Nazri Ismail dan Azwadee Ismail  dari Rahmat Badminton Club (RBC) 22-20, 25-23 untuk muncul johan kategori ‘Expert’ dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM400.

Bustamin berkata, dia berpuas hati dengan pasangannya yang sama-sama bekerja keras mengejar kemenangan dan menyifatkan tidak ada laluan mudah untuk bergelar juara.

Izat pula menyifatkan kejayaan ini tidak mungkin akan dicapai tanpa sokongan Ahmad Suhardy Hamzah selaku pengurus pasukan CBBC dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Suharmizi Hamzah, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Chalok Permai yang banyak memberi sumbangan untuk kemajuan sukan badminton kelab terbabit. 

Kategori ‘Novice’ pula menyaksikan gandingan Mohd Syahrizal Arbae dan Mohd Syahmi Awang terpaksa bergelut hingga ke set penentuan sebelum menundukkan Aliff Nazmi dan Wan Shahrazuan (CBBC) 21-18, 16-21, 23-21. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300.


Pegawai Penyelaras DUN Langkap Azmi Maarof ketika merasmikan majlis penutup berkata, beliau amat berpuashati dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat DUN Langkap samaada dari segi penyertaan sebagai pemain dan sokongan sebagai penonton.

“Tahniah saya ucapkan kepada pemenang. InsyaAllah kejohanan badminton peringkat parlimen akan diadakan pada tarikh yang bakal ditetapkan kemudian, saya harapkan pemain-pemain yang mewakili DUN Langkap nanti akan dapat mencapai kejayaan seterusnya menaikkan nama DUN kita ini.

“Selepas ini, kita akan mengadakan kejohanan bola sepak peringkat DUN Langkap yang akan dibuat pada pertengahan bulan September depan. Saya harapkan semua pasukan dapat menyiapkan pasukan masing-masing untuk merebut piala nanti,” ujarnya.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam disertai oleh 20 pasangan yang bertanding dalam kategori ‘Expert’ dan 39 buah pasukan dalam kategori ‘Novice’.

Dewan Sivik Gong Terap antara yang menjadi gelanggang bagi pusingan peringkat kumpulan dan 16 kategori Novice sementara peringkat separuh akhir dan akhir kedua kategori telah dilangsungkan di Dewan Sivik Chalok Kedai.

Tag: