• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bergejala Tetapi Masih Merentas Negeri

KUALA TERENGGANU, 24 April - Aktiviti rentas negeri melibatkan mereka yang bergejala tanpa kuarantin kendiri adalah pencetus utama berlaku penularan COVID-19 di dalam negeri.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, isu rentas negeri adalah sesuatu yang sensitif untuk diperkatakan kerana antara faktor penyebaran COVID-19 adalah merentas sempadan tanpa rasa tanggungjawab.

"Yang jadi isu, seseorang yang bergejala balik rentas negeri tetapi tetap masuk kerja, masih ambil masa dua hari untuk pergi klinik (melakukan 'swab test') menyebabkan semua rakan sekerja disaring dan dikuarantin.

"Contoh lain, yang bergejala masih lagi bersama dalam majlis berbuka puasa bersama 25 ahli keluarga, akhirnya semua terlibat terpaksa disaring dan dikuarantin, keluarga di sana sudah ada positif dan di sini belum tahu lagi. Kita berharap sangat tiada kluster baru akibat ini.

"Kita perlu ingat tiga atau empat hari sebelum dan selepas seseorang itu bergejala, kadar jangkitan sangat tinggi," katanya di laman facebook rasminya, hari ini.

Tambahnya, beliau menasihati agar semua masyarakat tidak mengambil mudah dengan situasi COVID-19 yang kini semakin membimbangkan.

Sementara itu, beliau turut menyarankan supaya mengekalkan adab sopan berbudi bahasa serta empati kepada warga petugas kesihatan barisan hadapan.

"Mereka bekerja tanpa rehat cukup sejak setahun yang lalu. Bulan puasa ini ke hulu hilir buat saringan, kesan kontak rapat, angkut pesakit ke hospital.

"Orang tanpa segan silu maki, kutuk dan kecam. Kita sudah jauh terpesong daripada budaya adab sopan berbudi bahasa. Petugas kesihatan yang terkena tempias sedangkan mereka hanya menjalankan tugas," jelasnya.

Beliau juga mengibaratkan cabaran pandemik sebagai berdepan dengan api dan bara yang perlu dipadam.

"Jika api sahaja dipadam dan bara dibiarkan, bara ini lah nanti akan membakar semula," nasihatnya.

Sehingga hari ini, Terengganu merekodkan 50 kes positif baharu dengan jumlah kes keseluruhan dikesan berjumlah 4,002 kes, peningkatan mendadak daripada 11 kes pada semalam.