• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Bergotong-Royong Hasil Laksa Kebuk




Oleh: Ahmad Fadhilah

MARANG, 24 Mac- Pastinya ramai yang tidak mengetahui bagaimana laksa beras atau laksa Terengganu  dihasilkan pada zaman dahulu sebelum teknologi moden diwujudkan.

Berbanding penghasilannya menggunakan mesin, penduduk Kampung Pak Madah, di sini  masih mewarisi kaedah lama menghasilkan produk itu atau turut dikenali  laksa kebuk di kalangan masyarakat setempat.

Bermula daripada penyediaan bahan mentah, makanan tradisi yang semakin pupus itu dihidupkan semula oleh penduduk kampung itu secara bergotong-royong.

Menariknya, mereka  menggunakan padi yang ditanam sendiri untuk menghasilkan tepung beras iaitu bahan utama untuk menghasilkan laksa kebuk.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, warisan ini perlu dijaga dan dikekalkan bukan sahaja hari ini malah di masa akan datang juga.

Katanya, kita perlu memberi pendedahan awal kepada generasi muda supaya mereka tahu bagaimana laksa kebuk dihasilkan.

“Perkara ini juga penting kerana golongan itu akan menyambung segala warisan yang ditinggalkan oleh orang tua.

“Pandangan saya, ianya perlu diketengahkan supaya dapat dikekalkan dan diteruskan bagi menjadikan pembuatan laksa secara tradisional tidak ditinggalkan begitu sahaja kerana ianya mempunyai nilai tersendiri disamping dapat menjadikan suatu tarikan pelancongan yang baru,” katanya.

Beliau berkata selepas Majlis Gotong Royong Membuat Laksa Tradisional Terengganu anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pak Madah, di sini, baru-baru ini.
Hampir 100 penduduk setempat turun membantu menyempurnakan program kali pertama dianjurkan itu.

Sementara itu, Setiausaha MPKK  Pak Madah Zulfakar Ali, 45, aktiviti berkenaan perlu diadakan lebih kerap bagi mendedahkan golongan muda mengenai cara tradisional pembuatan laksa.

"Program ini adalah kali kedua diikuti saya, pertama kali ketika berusia lima tahun, saya dapati ia bukanlah satu kerja yang mudah, sebaliknya memerlukan kerjasama yang cukup erat,”katanya.



Tag: