• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Berikutan Air Sungai Lasir Keruh: Kegiatan Pembalakan Dihentikan Sementara

Jambatan dibina tidak ikut spesifikasi ditetapkan. Foto Ihsan dari JPNT


KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Kerajaan Negeri telah dimaklum mengenai air sungai Lasir, Tasik Kenyir Hulu Terengganu didapati keruh kerana aktiviti pembalakan tidak mematuhi spesifikasi Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan 2013) yang disyaratkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri difahamkan JPNT telah menjalankan penyiasatan dan mengarahkan operasi pembalakan pelesen di kawasan tersebut dihentikan sementara agar spesifikasi dipatuhi.

Katanya, kekeruhan air Sungai Lasir itu berlaku ekoran daripada aktiviti pembinaan jalan hutan dan sebuah jambatan melintasi anak sungai ke kawasan kelulusan membalak di Kompartmen 20 GS Hulu Terengganu tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Saya menerima laporan bahawa pihak pelesen gagal mematuhi sepenuhnya spesifikasi  pembinaan jambatan berdasarkan Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan 2013) yang disyaratkan oleh JPNT,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ustaz Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, JPNT telah menahan sementara semua aktiviti pembalakan di kawasan tersebut dan mengarahkan pihak pelesen supaya melaksanakan kerja pemulihan serta merta dan mengambil langkah mitigasi (mengurangkan) kesan aktiviti terbabit.

Katanya, jabatan itu telah mengarahkan supaya pihak pelesen mengatasi isu hakisan tanah jambatan ke dalam anak sungai sekali gus memastikan impak kekeruhan air sungai dapat diminimakan.

“Lokasi kompartmen itu berada di hulu anak sungai yang mengalir ke Sungai Lasir dan terdapat lebihan tanah hasil kerja tanah pembinaan jalan dan jambatan kemudian mengalir ke sungai (anak sungai Lasir) ketika berlakunya hujan.
Jalan balak dibina menuju ke Kompartmen 20 GS Hulu Terengganu tidak mengikut peraturan. Foto Ihsan dari JPNT.

“Seterusnya mengalir ke Sungai Lasir dan terus ke Tasik Kenyir melalui kawasan Air Terjun Lasir,” jelasnya.

Menurutnya air keruh itu terjadi apabila  hujan lebat turun di kawasan lesen pembalakan berkaitan.

Katanya, jabatan berkenaan akan sentiasa memantau pelaksanaan langkah pemulihan oleh pihak pelesen tersebut sebelum membenarkan semula aktiviti pembalakan.

Sementara itu pemilik ‘houseboat’ akan dipanggil untuk menghentikan sementara penghantaran pelancong ke detinasi berhampiran agar tidak timbul tanggapan negatif terhadap industri pelancongan di Tasik Kenyir.


Tag: