• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Bersedia Jika Dikenakan Tindakan Undang-Undang -Ahmad Razif


Saya tidak takut sekiranya peguam pemerhati kepada guru yang terbabit dengan  kes penipuan Umrah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap saya, tegas Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

 Menurutnya, kerajaan negeri tidak perlu campur tangan kerana tidak terlibat dalam isu itu, malah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan siasatan polis.

"Jika mereka nak mengambil tindakan undang-undang, silakan.. saya bersedia kerana ia tidak membabitkan kerajaan, malah sudah diambil tindakan oleh pihak polis, reman juga sudah dibuat dan kini sedang tunggu pertuduhan.

"Macamana saya nak bela mereka sedangkan saya tidak tahu apa isunya kerana tidak pernah seorang wakil mangsa pun datang berjumpa kerajaan dan saya anggap isu ini sudah selesai.

"Lagipun ianya telah diserahkan kepada pihak berkuasa dan jika tak puas hati, gunakan prosedur sepatutnya untuk tindakan susulan. Kalau kerajaan campur tangan, seolah-olah kerajaan pula yang terlibat dalam perkara ini," tegas beliau lagi.

Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Pelancaran Hari Belia Peringkat Negeri Terengganu 2017 di Padang Bola Sepak Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi,Multimedia dan Tugas-Tugas Khas  Negeri, Ghazali Taib dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjawab isu yang dibangkitkan wakil peguam mangsa penipuan umrah YBNT yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Razif.

Terdahulu, satu sidang media telah diadakan pagi tadi oleh wakil peguam berkenaan bagi menjelaskan isu kerajaan tidak memberi pembelaan kepada mangsa penipuan dan seolah-olah melindungi YBNT.

Dalam sidang media tersebut, peguam pemerhati berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan membuat laporan polis sekiranya pihak Menteri Besar tidak mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam bermula jam 12:30 hari ini.

Tag: