• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bertanjak Meriahkan Kemaman

KEMAMAN, 18 September - Daerah Kemaman dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai memakai tanjak pada Program NGO (Badan Bukan Kerajaan) Kemaman Bertanjak bersempena Hari Malaysia yang berlangsung di Kemaman Centre Point (KCP), kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi di atas penganjuran program tersebut.

"Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama, bertemu dan beramah mesra dengan hadirin dari seluruh pelusuk daerah bagi negeri Terengganu dan juga luar negeri.

"Hari ini mengingatkan pada sejarah 70 tahun yang lalu di mana nenek moyang kita bangkit berjuang bagi memastikan negara yang sangat disayangi ini mencapai kemerdekaan," ujarnya.

Katanya lagi, orang Melayu pada hari ini perlu mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dalam masa sama, beliau mengharapkan anak muda tidak melibatkan diri dengan perkara yang tidak baik seperti penglibatan dengan dadah dan lain-lain yang boleh merosakkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara yang dicintai ini.

"Inilah harapan kerajaan negeri. Kami mengharapkan seluruh NGO dapat memainkan peranan supaya orang kenal kita sebagai orang Melayu yang mempunyai jati diri, akidah Islam yang tinggi dan menjadi contoh yang baik kepada bangsa-bangsa yang lain," ujarnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut.

Program tersebut melibatkan pelbagai NGO seperti Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Penyu Mas Muay Thai serta seluruh persatuan silat negeri Terengganu dan luar negeri.

Antara aktiviti yang diadakan pada program tersebut ialah Himpunan NGO Bertanjak, Himpunan Berbusana, Persembahan Silat, Deklimasi Puisi Patriotik, Pameran Senjata Melayu,  Gerai dan Pameran Busana.

Turut hadir memeriahkan program itu, juara silat olahraga dunia dan selebriti, Master Ruzaidi Abdul Rahman yang lebih dikenali dengan panggilan mesra "Wak Didi".


Tag: